MENYATAKAN KEPUTUSAN RETREAT PH DI PD, SALAH SAIFUDDIN NASUTION
KAH?
Umpama mendapat modal politik terpijak yang ditunggu sekian
lama, akhirnya mereka kutip kenyataan SU Sekretariat PH yang juga SUA Keadilan,
YB Dato Seri Saifuddin Nasution tentang 'khemah besar".
Hakikatnya tiada modal lagi. Mahu tuduh Saifuddin pernah
perlekehkan Presiden, tiada. Mahu serang Saifuddin kerana kecewa dan merajuk
setelah tewas sesuatu pertandingan di dalam parti, pun tiada. Mahu kata
Saifuddin pernah tubuh syarikat meniaga dan rugi, langsung tidak berkaitan.
Paling tidak, modal mereka sebelum ini tuduh Saifuddin 'cabut' ke Indonesia
pada awal tercetusnya reformasi. Modal tersebut tenggelam awal kerana semua
tahu fakta sebenar yang berlaku ketika itu.
Maka, terbaru mereka kutip kenyataan SU Sekretariat PH itu yang
menyatakan PH sentiasa membuka pintu rundingan atau kerjasama dengan
parti-parti selain PH. Sebenarnya, Saifuddin hanya menyatakan keputusan PH yang
diputuskan di Retreat Port Dickson bahawa PH bersedia untuk 'khemah besar"
dengan beberapa syarat yang telah digariskan. Ertikata lain, kerjasama 'khemah
besar' itu bersyarat. Salahkah Saifuddin selaku Setiausaha Sekretariat PH
menyatakan keputusan PH? Bukankah itu tugas beliau? Kenyataannya tiada menambah
dan mengurang dari apa yang diputuskan.
Isu ini timbul kerana pemilihan parti, itu saja. Walhal kita
semua tahu siapa watak-watak yang berunding dengan Mahathir sebelum PRU14 yang
lalu. Bukankah mereka juga membawa tugas yang diamanahkan oleh parti? Mahathir
khianat membantu langkah Sheraton dan kerajaan PH tumbang, wajarkah kita
menyalahkan mereka yang berunding itu? Tidak, kerana bukan salah mereka. Mereka
hanya lakukan apa yang parti arahkan. Begitu juga dengan strategi 'Kajang
Move". Kita tahu sangat watak di dalam plan untuk menggugurkan TSKI sebagai
MB Selangor waktu itu. Berjayakah "Kajang Move"? Gagal, selain dari
TSKI berjaya dijatuhkan, tetapi yang naik adalah Azmin. Apakah menaikkan Azmin
itu hasrat sebenar Keadilan? Oh tidak. Kita tidak menyalahkan pakar strategi
yang gagal waktu itu kerana plan tersebut telah mendapat restu parti. Dia hanya
lakukan tugas.
Begitulah apa yang Saifuddin lakukan sebagai Setiausaha.
Menyatakan apa yang telah diputuskan bersama. Mungkin selepas ini keputusannya
berlainan dan Saifuddin akan menyatakan juga kepada umum.
Serangan kepada Saifuddin dua tiga hari ini amat hambar sekali.
Tidak perlu rasanya SUA Keadilan itu menjawabnya. Serah kepada AJK Ranting
sahaja untuk menjawabnya.
Pemilihan parti bulan depan. Saifuddin Nasution telah umumkan
untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden. Saya merasakan inilah masa terbaik
untuk mengangkat beliau sebagai TP. Sejak kekosongan TP beberapa
tahun yang lalu, Saifuddin terlalu banyak habiskan masanya untuk memikul tugas
sebagai TP dalam waktu yang sama beliau adalah SU Sekretariat PH dan SUA
Keadilan.
Sehubungan itu, jika jawatan itu perlu diisi melalui pemilihan
parti kali ini, amat sukar untuk difahami jika Saifuddin menolak dari
menawarkan diri bagi menjawat jawatan kedua terbesar di dalam parti tersebut.
Apa yang penting, kalah atau menang, parti harus kita dokong
setiap masa. Kecewa atau putus asa, apatah lagi merajuk, itu tiada dalam kamus
seorang pejuang.
WFAUZDIN NS