KEBERANIAN ISMAIL SABRI YANG SEHARUSNYA DISOKONG DAN DIPUJI (PATUT PUJI-TAPI KALAU SEPATAH HARAM TAK CAKAP BAHASA INGGERIS NAMPAK LEKEH KALAU PERSIDANGAN ANTARABANGSA)


 Pengumuman Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob bahawa Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa di luar negara, seharusnya menerbitkan rasa bangga dalam diri kita semua.

Ia bukan saja menunjukkan iltizam tinggi beliau untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di dalam dan di luar negara, malah memperlihatkan keberaniannya berbuat demikian.

Dengan mengumumkan mengenai perkara itu, Ismail Sabri adalah satu-satunya Perdana Menteri yang berani bertindak menerobos ke arah mengangkat dan memartabatkan bahasa Melayu di luar negara, sesuai dengan banyak slogan yang selalu diperdengarkan kepada kita sejak dulu lagi seperti “Bahasa Jiwa Bangsa, “Sayangi Bahasa Kebangsaan, “Martabatkan Bahasa Kebangsaan” dan macam-macam lagi.

Malangnya, semua slogan tersebut hanya menjadi mainan retorik saja dan bahasa Melayu kekal terpinggir, tidak saja di luar negara, malah kerap kali juga di dalam negara sendiri.

Dalam pengumumannya mengenai perkara tersebut, Ismail berkata, Malaysia akan menggunakan Bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara mulai sekarang, termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

Tegasnya, beliau sendiri telah menggunakan Bahasa Melayu ketika mesyuarat dua hala dan sidang media bersama semasa lawatan rasmi ke Brunei, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

“Sebelum ini, saya telah menyatakan bahawa dalam setiap urusan rasmi kerajaan, kita perlu menggunakan Bahasa Melayu.

“Rundingan saya di luar negara juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Oleh sebab itu, saya menggunakan Bahasa Melayu.

“Sudah sampai masanya kita perlu bangga dengan Bahasa Melayu yang merupakan Bahasa Kebangsaan dan kita bertanggungjawab memperkasa Bahasa Melayu.

“Jadi, kita tidak ada sebab untuk rasa janggal berbahasa Melayu ketika di luar negara kerana banyak bangsa lain dilihat bangga dengan bahasa masing-masing,” katanya lagi.

Beliau seterusnya berkata, penduduk di ASEAN paling banyak menggunakan Bahasa Melayu dan tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti, ia boleh dijadikan sebagai Bahasa ASEAN.

“Perkara ini mungkin boleh dibincang dengan pemimpin ASEAN pada masa depan,” tambahnya.

Dengan apa yang dipertegaskan oleh Perdana Menteri itu, adalah jelas beliau bukan saja mahu pegawai-pegawai kerajaan dan rakyat seluruhnya bersama-sama memainkan peranan mengangkat bahasa Melayu dalam mesyuarat atau persidangan di luar negara, bahkan ke arah menjadikannya bahasa rasmi ASEAN juga.

Jika itu akhirnya berjaya dilakukan, mungkin tidak dalam waktu terdekat ini, tidakkah kita sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu akan barasa bangga?

Dalam hal ini, kita seharusnya telah lama mencontohi banyak negara lain seperti China, Rusia, Korea, Jepun dan sebagainya yang sentiasa mengangkat dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam mesyuarat, persidengan atau pertemuan antara pemimpin di peringkat antarabangsa.

Mereka bukan saja bangga dengan bahasa ibunda masing-masing, yang lebih penting dengan berbuat demikian tidak pula menjadikan negara mereka itu ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunannya.

Bermakna, bahasa bukanlah penghalang kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Dengan itu, bersama kemajuan yang dicapai tetapi tidak meminggirkan bahawa ibunda, barulah apa yang dicapai itu mempunyai nilai serta erti yang lebih tinggi.

Kita pula, sudahlah kemajuan yang dicapai tak setinggi mana, kedudukan bahasa Melayu pun jadi caca marba sehingga identiti negara jadi tak ketahuan jadinya, walau sudah lebih 60 tahun bebas daripada penjajahan.

Oleh itu, keberanian Ismail Sabri ini, selain harus dipuji, bahkan menjadi tanggungjawab kita sebagai anak Malaysia menjadikannya sebagai perjuangan yang berpanjangan serta berkekalan. – ShahbudinHusin 01/03/2022.


No comments: