Kempen PRN Johor dicemari kes bakar bendera parti di Kluang

 

Pihak terbabit pilihan raya negeri (PRN) Johor diingatkan supaya mengawal tingkah laku penyokong masing-masing demi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan ketenteraman awam tidak tergugat.

PETALING JAYA: Polis mengesan dua kejadian bendera sebuah parti politik dibakar di dua lokasi berlainan di Layang-layang, Kluang, pagi semalam, kata Ketua Polis Daerah Low Hang Seng.

Beliau berkata, insiden itu berlaku antara Jalan Puteri dengan Jalan Melati di Taman Layang-Layang, serta di Jalan Kampung Paya.

Low berkata, tiada suspek dikesan, namun semua pihak terbabit pilihan raya negeri (PRN) Johor kali ini diingatkan supaya mengawal tingkah laku penyokong masing-masing demi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan ketenteraman awam tidak tergugat.

“Pastikan penyokong mematuhi undang-undang, peraturan dan etika berkempen sepanjang tempoh rasmi kempen PRN Johor. Perbuatan membakar bendera itu termasuk dalam kesalahan bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

“Tindakan tegas akan diambil ke atas pelaku yang didapati dengan sengaja tidak mematuhi undang-undang, menimbulkan kekacauan dan sebarang provokasi, mengikut undang-undang Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 24(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kes berasingan, Low berkata pihaknya turut mengesan dua kes pemasangan kain rentang berhampiran kawasan sekolah, yang melanggar Seksyen 24b (7) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kain rentang itu dipasang berdekatan kawasan Sekolah Agama Kampung Contoh dan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Lukut di Kahang.

“Polis sudah mengenal pasti petugas parti yang terbabit, dan seterusnya menasihati berkaitan syarat serta prosedur operasi standard (SOP) bahawa pemasangan bendera atau kain rentang hendaklah dalam jarak 50m dari pusat mengundi,” katanya.

No comments: