PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ


Israk dan Mikraj merupakan dua peristiwa agung yang melangkaui taakulan rasional dan cerapan inderawi manusia, dan hanya mungkin diterima atas dasar keimanan terhadap kerasulan dan kemukjizatan Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah SWT;
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Maha Suci Allah yang telah memperjalan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra’: 1).
Tatkala itu, Baginda sedang mengharungi detik yang sukar. Tahun Kedukaan ditandai dengan perginya Khadijah dan Abu Talib, suri hati kesayangan dan bapa saudaranya. Namun berbekalkan optimisme dan keyakinannya terhadap Allah, kepiluan hati terubat tatkala Baginda dijemput ke Sidratul Muntaha buat menerima amanah baru selaku penutup sekalian Nabi.
Amanah berupa kewajipan solat lima waktu itu diterima dengan niat melaksanakannya. Ujian terawal buat umat Islam adalah yang menyangkut amanah seringkas solat fardu itu, apakah ia berhasil dilaksanakan sebelum umat tampil untuk mengemban amanah yang lebih rumit melibatkan kebajikan rakyat dan negara.
Justeru di samping mengenang keunggulan peristiwa Israk dan Mikraj yang nyata mengukuhkan keimanan, wajar juga digariskan iktibar penting terkait lunas akhlak dan prinsip hidup yang dipaparkan kepada Baginda semasa perjalanan bersejarahnya merentasi lapisan langit.
Keyakinan terhadap dasar inilah yang menjadi sumber kekuatan untuk terus berjuang. Dasar yang diangkat mesti menjamin keseimbangan dunia dan akhirat agar tidak berlakunya fasad yang menghilangkan nilai kemanusiaan.
ANWAR IBRAHIM
May be an image of text