Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoal bagaimana Universiti Putra Malaysia (UPM) boleh menghasilkan hampir 400 graduan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tahun ini.
Walhal, kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu, universiti terbaik dunia pun hanya kurang 20 penerima PhD yang dianugerahkan.
Sehubungan itu, pemegang ijazah undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenaan meminta pihak UPM menjelaskan isu tersebut.
“Saya tertanya tanya mengapakah begitu ramai yang dianugerahi PhD di UPM sedangkan universiti universiti di luar negara yang lebih tinggi rankingnya dalam senarai Times Higher Education misalnya, tidak menganugerahkan ijazah PhD sebanyak itu dalam setahun.
“Timbul tanda tanya bagaimanakah pelajar PhD ini dinilai sekiranya seorang pelajar memerlukan seorang profesor sebagai penyelia bagi tujuan memantau, menyemak dan meluluskan tesis yang mereka hasilkan?
“Adakah UPM mempunyai tenaga pengajar sebanyak itu atau mereka diselia oleh pensyarah yang lebih rendah taraf akademiknya?
“Sedangkan 10 universiti terbaik dunia, jika diteliti graduan PhD yang dihasilkan tidak lebih 20 orang setahun. Misalnya universiti terulung dunia seperti Universiti Cambridge hanya melahirkan di bawah sepuluh oleh pelajar PhD setahun dalam 5 tahun terakhir ini,” katanya hari ini.
Majlis Konvokesyen ke-44 UPM pada 8 hingga 13 Januari lalu menyaksikan seramai 398 penerima dianugerahi PhD.
Mengulas lanjut, Shamsul bertanyakan sama ada PhD yang dihasilkan oleh UPM itu setaraf dengan universiti utama dunia atau mempunyai taraf berlainan.
“Jika PhD yang dihasilkan di bawah standard (substandard) universiti ulung dunia, dan kaedah penyediaan tesisnya lebih mudah maka apakah standard ini diakui dunia akademik di luar Malaysia?” soalnya.
Beliau menegaskan penganugerahan PhD bukan perkara kecil memandangkan individu yang memiliki PhD dianggap layak dan kompeten untuk melakukan kerja-kerja yang sesuai dengan kepakarannya.
“Sekiranya kualiti PhD itu dikompromi maka kerja yang dilakukan kelak merisikokan organisasi yang mengupah mereka,” katanya.
Sehubungan itu, Shamsul mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memantau universiti universiti tempatan yang mengeluarkan begitu banyak graduan PhD dalam tempoh setahun.
KPT, jelasnya, perlu meneliti kaedah penghasilan PhD mereka sebelum penarafan universiti Malaysia merosot di peringkat antarabangsa yang tentunya meletakkan kepentingan kepada kualiti penyelidikan.