NGO reformis bantu mangsa banjir di Selangor

 

Beberapa NGO reformasi tidak ketinggalan menyumbang bantuan kepada mangsa banjir di Selangor.

Pada 24 dan 25 Disember lalu, NGO Rapat Rakyat bersama Gabungan Reformis Malaysia (GRM) menghulurkan bantuan berupa makanan bermasak kepada mangsa mangsa banjir di Parlimen Sungai Buloh, Selangor.

Menurut Presiden Rapat, Mustaffa Kamil Ayub, pertubuhan tersebut telah melancarkan Dapur Rapat Rakyat (DRR) pada 24 Disember bersama sama GRM.

Katanya, sebanyak 500 pek makanan bermasak dan buah tamar telah disediakan sepanjang 2 hari bagi diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Kubu Gajah dan Paya Jaras di Parlimen Sungai Buloh.

"Pihak wanita Rapat Kota Damansara telah menyumbangkan bakti dalam penyediaan makanan bermasak secara gotong royong di perkarangan Baitul Hikmah, Kota Damansara.

"Di kawasan banjir pihak MPKK di bawah penyelaras Tok Pie dibantu oleh Tok Zul, Tok Hassim, Tok Yusuf, En Roslin dan sejumlah sukarelawan telah menjalankan tugas dengan cemerlang mengagihkan barangan sumbangan dari pelbagai pihak.

"Menurut pihak MPKK, sejumlah 1,000 buah rumah terbabit dengan banjir. Walaupun air sudah surut, namun sejumlah besar rumah masih belum dibersihkan lagi," katanya.

Tambah beliau Pasukan RAPAT terdiri daripada saudara Mustaffa, Alias, Puan Aisyah dan Puan Rusiah juga telah sama-sama menguruskan barangan dilokasi bantuan banjir.

Katanya, dengan sambutan dan sumbangan yang menggalakkan, DRR tersebut akan diteruskan untuk meringankan bebanan mangsa banjir dan juga petugas-petugas.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan DRR berkenaan.


Presiden Rapat (kiri sekali) menyampaikan sumbangan kepada wakil MPKK


No comments: