MP desak PM bertindak terhadap Azam Baki

 

MP desak PM bertindak terhadap Azam Baki


Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengambil tindakan susulan dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.

Kenyataan pemimpin veteran DAP itu merujuk kepada peletakan jawatan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Edmund Terence Gomez semalam.

“Perdana Menteri, Ismail Sabri mesti bertindak atas peletakan jawatan mengejut Gomez daripada panel SPRM dan menamatkan ‘konspirasi senyap’ selama dua bulan mengenai dakwaan Ketua SPRM memiliki hampir dua juta saham dalam syarikat senarai awam.


Lim juga mendesak Ismail Sabri supaya berhenti membisu tentang kontroversi yang menyelubungi Azam.“Ini adalah mendesak dan penting terutamanya kerana rakyat Malaysia sedang menunggu dalam resah untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2021 yang akan dikeluarkan pada bulan depan di mana Malaysia dijangka berada di kedudukan dan mendapat markah yang teruk, mencerminkan usaha anti-rasuah yang semakin teruk di Malaysia dalam tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, konsep “Keluarga Malaysia” Ismail Sabri tidak boleh berdasarkan Malaysia yang dianggap di peringkat nasional dan antarabangsa sebagai semakin korup, yang juga bertentangan dengan prinsip pembinaan negara Rukun Negara iaitu “kesopanan dan kesusilaan”.

“Perlu ada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Rasuah dan Penyalahgunaan/Pembaziran Dana Awam yang harus menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang menyelubungi Ketua SPRM, Azam Baki, Laporan Integriti Kewangan Global yang mendedahkan bahawa Malaysia kerugian besar sebanyak RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014 serta kedudukan dan markah yang lemah Malaysia dalam laporan TI CPI.

“Sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia menuntut ketelusan dan akauntabiliti yang lebih tinggi mengenai perkara itu, terutamanya dengan pelantikan penasihat yang berlebihan untuk Perdana Menteri apabila beliau mempunyai Menteri Kabinet yang menjaga bidang tugas masing-masing, pelantikan duta yang tidak diperlukan apabila terdapat duta yang dilantik untuk setiap negara, dan pelantikan pelantikan GLC,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.

Edmund Terence Gomez (tengah)

Ketika mengumumkan peletakan jawatannya semalam, Gomez menggesa pengerusi panel, Borhan Dolah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan hal itu pada 12 November lalu, namun ia tidak pernah diadakan, meskipun Borhan pada awalnya bersetuju.

Tindakan susulannya selepas daripada itu – surat terakhir adalah bertarikh 14 Dis – turut tidak menerima sebarang maklum balas, menyebabkan dia “tiada pilihan” selain meletak jawatan dengan menyifatkan tiadanya tindakan terhadap laporan melibatkan Azam sebagai satu “pengabaian tugas terhadap negara yang serius”.

Kata Gomez lagi, surat yang ditulis kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Nika Ujang sebanyak tiga kali, turut tidak mendapat sebarang maklum balas.

Pada 14 Disember lalu, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membahaskan dakwaan pemilikan saham oleh Azam, melebihi jumlah dibenarkan.

Sivarasa mendakwa Azam, antara 2015 dan 2016 sebagai pengarah siasatan SPRM, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Dia juga mendakwa Azam, pada 21 Mac 2016, memiliki 2,156,000 waran dalam sebuah syarikat senarai awam, Excel Force MSC Bhd, manakala adik lelakinya memiliki 3,728,000 unit saham dlam Gets Global.

Dia memetik Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 yang menyebut seseorang pegawai awam boleh membeli saham tetapi tertakluk kepada syarat-syarat, antaranya tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 juga mewajibkan kakitangan awam untuk mengisytiharkan harta kepada ketua mereka, katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Parit Buntar Mujahid Yusof turut menggesa Ismail Sabri untuk bertindak tegas selepas peletakan jawatan Gomez didakwanya sebagai sesuatu yang mencalarkan reputasi SPRM.

“Perletakan jawatan Dr Edmund Terrence Gomez dalam Panel Penasihat dan Pencegahan Rasuah di bawah SPRM adalah isyarat reputasi badan anti-rasuah itu sudah tercalar. Ismail Sabri perlu tegas pulihkan SPRM sekarang!” ciap bekas menteri agama kerajaan Pakatan Harapan itu di Twitter.

No comments: