Pasca banjir: Mana aset Kerajaan Persekutuan bantu pembersihan kawasan?

 

Kerajaan Persekutuan tidak banyak membantu dalam proses evakuasi mangsa banjir di Selangor baru baru ini dengan alasan bencana sebegitu besar belum pernah terjadi, kini Kerajaan sama juga tidak menggerakkan aset aset milik agensi mereka untuk melakukan pembersihan pasca banjir.

Bagi Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, kelembapan Kerajaan Persekutuan yang berlanjutan itu amat mengecewakan rakyat yang telah bertungkus lumus menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir sejak hari pertama bencana.

"Selepas saya menyertai misi bantuan pasca banjir di Hulu Langat dan Taman Sri Muda pada minggu lalu, saya dapati keadaan pasca banjir adalah membimbangkan walaupun mempunyai ramai sukarelawan dari seluruh negara datang membantu dan pihak berkuasa tempatan mengerahkan segala sumber untuk membersihkan kawasan terkesan.

"Perkembangan pembersihan persekitaran kawasan banjir masih lambat dan mengakibatkan mangsa banjir terpaksa bertahan hidup dengan bau busuk daripada sampah sisa banjir yang dibuang di halaman rumah serta hidup di persekitaran yang buruk sementara menunggu pelupusan sampah.

"Memandangkan kekangan sumber dan aset yang dihadapi oleh badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan negeri, pihak kerajaan pusat seharusnya telah mengerahkan lebih banyak sumber manusia dan aset dari seluruh negara dalam usaha mempercepatkan pembersihan kawasan kawasan yang terkesan," katanya.

Menurut beliau, agensi Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) dan sebagainya mempunyai jentera yang mencukupi bagi membantu mempercepatkan proses pembersihan namun hal berkenaan tidak berlaku.

Tambah Loh, sekiranya pembersihan lambat maka kesihatan penduduk akan terjejas dan bencana lain pula yang akan menimpa mangsa banjir.

Kelemahan menjolok mata tersebut, katanya, perlu diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan sesegera mungkin.

"Inilah nasib rakyat Malaysia di bawah kerajaan yang dipimpin oleh konco – konco Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang mencabuli demokrasi daripada rakyat.

"Sudahlah berdepan banjir dan tidak dibantu segera, menteri menteri pula hilang bercuti ke luar negara bersenang lenang. Menteri yang ada pula, bermain ‘wayang’ untuk kempen perhubungan awam mereka.

"Perdana Menteri mahupun Menteri terbukti gagal bukan sahaja pada awal misi menyelamatkan mangsa banjir tetapi juga gagal teruk misi bantuan pasca banjir," katanya.

Tegas beliau, sekiranya Menteri Kerajaan Persekutuan tidak mampu berbuat lebih baik maka seelok eloknya mereka meletakkan jawatan

"Jika kerajaan pusat cuma duduk dan lihat, berharap agar NGO dan sokongan peribadi masyarakat sahaja dalam hal ini, baik mereka meletakkan jawatan dan memberikan laluan kepada NGO atau Ketua Pembangkang untuk mentadbir urus negara ini," sinis Loh.



No comments: