‘Nasi tidak boleh jadi bubur’, Puad mahu PM bertindak segera susulan ahli panel SPRM letak jawatan


facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Puad Zarkashi berkata, kalau semua pihak mendiamkan diri dan tidak
 berani membincangkan dakwaan Edmund Terence Gomez, maka siapa
 lagi yang patut bertindak kalau bukan Perdana Menteri. (Gambar
 Bernama)

PETALING JAYA: Perdana Menteri perlu berani bertindak terhadap dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata seorang pemimpin Umno selain menegaskan Ismail Sabri Yaakob tidak boleh lambat bertindak dan mengambil pendekatan “tunggu dan lihat”

“Nasi tidak boleh jadi bubur,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi kepada FMT.

“Kalau semua pihak mendiamkan diri dan tidak berani membincangkan dakwaan Terence Gomez, maka siapa lagi kalau bukan Perdana Menteri. Ismail Sabri wajar campur tangan,” katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan ahli ekonomi Edmund Terence Gomez yang meletak jawatan sebagai ahli panel SPRM semalam selepas mendakwa panel berkenaan gagal membincangkan banyak laporan membabitkan pegawai tinggi badan itu.

Puad berkata, peletakan jawatan ahli akademik itu menimbulkan kebimbangan maksimum terhadap integriti agensi penguatkuasaan terbabit.

“Ada tiga kebimbangan utama. Pertama, apakah SPRM mampu menjadi agensi yang boleh membanteras rasuah secara adil, telus dan berkesan?

“Kedua, apakah isu yang menjadi punca letak jawatan tersebut, iaitu ‘perniagaan’ dan ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai atasan SPRM benar dan berasas?

“Ketiga, apakah SPRM terlalu kebal untuk disentuh,” soalnya.

Beliau turut mengambil perhatian terhadap kes kecurian wang bukti yang dirampas daripada bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid pada September lalu yang sehingga kini masih tiada tindakan lanjut.

“Apa jadi pada kes tersebut? Perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Jangan ada ‘cover up’ tanpa ada tindakan.

“Isu dibangkitkan oleh Terence Gomez membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Jangan ada kompromi. Ia mesti disiasat secara ‘total’,” kata Puad.

SPRM pada 20 Sept mengesahkan penahanan tiga pegawainya bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes Hasanah.

Pada Ogos 2018, SPRM membuat penggeledahan dan merampas sejumlah wang tunai dolar Amerika Syarikat dari sebuah unit kondominium di Cyberjaya.

Pada 12 Apr lalu, Hasanah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan melakukan pecah amanah USD12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Beliau dilaporkan mahu menuntut semula wang berkenaan daripada SPRM, namun didakwa hanya tinggal sebahagian daripada wang dan wang palsu dalam simpanan badan berkenaan.

No comments: