MOU DENGAN PH BERI KELEBIHAN HAMZAH DILANTIK TPM….


Rasanya ramai yang tidak mengetahui bahawa di sebalik termetrainya MOU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan blok pembangkang PH pada petang Isnin lalu, orang penting di belakang tabir dalam menentukan kesuksesannya ialah Hamzah Zainuddin.

 Hamzah yang merupakan Menteri Dalam Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu bukan saja merupakan perancang utama sejak awal lagi, bahkan telah memainkan peranan sangat penting bagi pihak Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sehingga berjayanya MOU itu ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.

 Difahamkan peranan Hamzah boleh dikata sampai ke tahap menyeluruh bermula daripada awal hinggalah MOU itu selesai ditandatangani, termasuk dalam berurusan dengan pemimpin-pemimpin PH.

 Mereka yang tahu berkaitan dengan perkara itu memberitahu, peranan Hamzah malah sehingga ke peringkat menentukan tempat dan bilik untuk majlis itu diadakan.

Kata mereka, pemilihan Bangunan Parlimen dan penentuan bilik di dalam bangunan tersebut untuk majlis berkenaan adalah diputuskan oleh Hamzah.

 Pemilihan Bangunan Parlimen dibuat kerana Hamzah merasakan ia sebagai tempat yang dirasakan paling sesuai bagi acara bersejarah itu, di samping bilik yang dipilih pula dapat memberi keselesaan kepada Ismail Sabri untuk menghadirinya.

 Dengan berjayanya MOU itu ditandatangani yang dari segi politiknya memberi Ismail Sabri laluan selesa mengemudi negara sekurang-kurangnya sehingga PRU15 akan datang, Perdana Menteri difahamkan amat berpuas hati dengan kerja yang dilakukan Hamzah itu.

 Lebih-lebih lagi dengan perancangan dan keselesaan yang diberi kepada Ismail Sabri untuk hadir tanpa berdepan banyak kesukaran, Hamzah boleh dianggap telah berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang.

 Dengan kejayaan Hamzah bersama MOU tersebut, beliau kini disebut-sebut sebagai pilihan yang sedang melekat di hati Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

 Seorang pemimpin Bersatu yang agak dekat dengan Hamzah tidak menolak Ahli Parlimen Larut itu akan dilantik ke jawatan nombor dua dalam kerajaan dalam waktu terdekat ini.

 “Saya difahamkan perlantikan Hamzah akan dibuat sebaik saja sidang Parlimen yang sedang berjalan ini berakhir,” kata pemimpin Bersatu berkenaan dengan yakin.

 Katanya, kalangan yang dekat dengan Hamzah juga menyebut perkara yang sama iaitu Menteri Dalam Negeri itu akan dinaikkan pangkatnya tidak lama lagi.

 Hamzah sendiri, tambah beliau, bila diusik dengan kemungkinan itu hanya membalasnya dengan senyuman meleret yang penuh makna.

 Pemimpin Bersatu itu menambah lagi, dengan kerja sempurna yang berjalan dilakukan Hamzah dalam merealisasikan MOU dengan PH itu, Ismail Sabri sebenarnya tiada pilihan lain dalam mengisi kekosongan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan serta bagi meringankan tugas Perdana Menteri.

 “Hamzah adalah pilihan yang sesuai buat Ismail Sabri,” katanya.

 Sebelum ini, sebaik Ismail Sabri dilantik menjadi Perdana Menteri, nama yang paling disebut-sebut akan dijadikan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan pimpinannya ialah Azmin Ali.

 Azmin bukan saja calon pilihan yang dicadangkan oleh Bersatu, malah merupakan keutamaan yang cuba ditonjolkan oleh Mahiaddin Md Yasin sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

 Begitu pun, dalam sususan kabinet yang dibentuknya, Ismail Sabri tidak mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mengekalkan gaya Mahiaddin sebelum ini iaitu mewujudkan empat jawatan menteri kanan.

 Ismail Sabri dikatakan agak keberatan untuk melantik Azmin sebagai Timbalan Perdana Menteri berikutan imejnya yang sudah tercalar di mata umum dan beliau bimbang tidak terpikul dek bebanan tersebut.

 Meskipun Azmin berkedudukan salah seorang menteri kanan, tetapi beliau tidak diberi sebarang peranan mewakili kerajaan dalam rundingan berkaitan MOU dengan PH itu.

 Sebaliknya, peranan utama telah diberi kepada Hamzah yang bersama kejayaannya melaksanakan tugas itu dengan cemerlang serta mampu membuatkan Ismail Sabri bernafas selesa, perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dikatakan tidak dapat dielakkan lagi.

 Lagi pun dengan bebanan tugasnya dan pelbagai masalah di sekitarnya, Ismail Sabri tidak mungkin mampu berlama-lama tanpa ada seorang Timbalan Perdana Menteri membantunya. – 

ShahbudinHusin 16/09/2021.

 

No comments: