Pelajar tingkatan 4, 5 di Pahang terima vaksin minggu depan

 

Setakat ini sebanyak 81.7% atau kira-kira 960,126 penduduk dewasa di Pahang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Pelajar Tingkatan 4 dan 5 di negeri ini akan menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 bermula minggu depan, kata Pengarah Kesihatannya, Dr Azimi Yunus.

Azimi berkata, sehingga Rabu lalu, mereka sudah melaksanakan program vaksinasi kepada golongan remaja yang mempunyai sejarah penyakit sebelum ia diperluaskan kepada pelajar terbabit.

Katanya, suntikan vaksin berkenaan dilakukan di lima hospital di negeri ini.

“Lima hospital itu ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh; Hospital Lipis; Hospital Pekan dan Hospital Bentong.

“Bermula minggu depan, program vaksinasi akan diperluaskan kepada semua pelajar berumur 16 dan 17 tahun pula.

“Kini pihak kita sedang membuat penyelarasan bersama pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Azimi berkata, setakat ini sebanyak 81.7% atau kira-kira 960,126 penduduk dewasa di Pahang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Katanya, manakala itu seramai 691,258 atau 58.8% penduduk sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

“Setakat ini, kira-kira 26,048 yang telah berdaftar sedang menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin. Bagaimanapun, seramai 189,626 atau 16.1% penduduk dewasa masih lagi belum berdaftar melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Mengenai bekalan vaksin, beliau berkata, ia berada di tahap yang sangat baik dan pihaknya berhasrat mencapai sasaran 100% populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir September ini.

“Kita telah pergi ke hampir seluruh kawasan kampung namun kehadiran untuk suntikan dos pertama masih tidak mencapai sasaran.

“Peluang dan ruang untuk mendapat suntikan terbuka luas. Warga Pahang diminta menyambut peluang ini untuk memastikan sasaran 100% populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin akan tercapai pada akhir September ini,” katanya.

 

No comments: