Guna duit poket sendiri bantu rakyat, jangan harap kerajaan pusat, Anwar beritahu wakil rakyat pembangkang

 

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari membuat pelepasan konvoi jentera peduli nadi rakyat untuk memberi bantuan kepada golongan terjejas akibat Covid-19 di setiap negeri di ibu pejabat PKR hari ini.

 

 

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa semua wakil rakyatnya tidak terlalu mengharapkan dana bantuan kerajaan sebaliknya menggunakan wang peribadi untuk membantu rakyat yang kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Beliau menegaskan, tugas ahli politik bukan saja membawa usul dan mengemukakan dasar serta memberi teguran tetapi terus memberi khidmat bakti yang baik.

“Perkara ini sudah saya tegaskan berkali-kali kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN di negeri-negeri, selain sumbangan yang diterima daripada kerajaan, setiap daripada mereka mesti dan wajib keluarkan dana peribadi untuk bantu rakyat yang susah.

“Bukan sahaja berupaya guna duit kerajaan atau minta derma (untuk bantu rakyat), tetapi mereka harus tunjuk teladan yang baik dengan bantu rakyat guna duit poket mereka sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan pelepasan jentera Jelajah Peduli Nadi Rakyat di ibu pejabat PKR di sini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dalam ucapannya, presiden PKR itu mengulangi gesaan supaya Putrajaya menyuntik tunai berjumlah RM45 bilion kepada kumpulan B40 dan M40 bagi mengurangkan beban sara hidup mereka sepanjang pandemik Covid-19.

“Suntikan dana khas bagi keluarga B40 dan M40 yang terkesan dengan Covid-19 harus dipertimbangkan. Perkara ini juga yang saya tekankan ketika menandatangani memorandum persefahaman dengan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, program berkenaan memperlihatkan kesungguhan dan solidariti oleh Majlis Pimpinan PKR negeri dan pusat dalam menggerakkan bantuan kepada rakyat tanpa bergantung semata-mata kepada dana kerajaan pusat.

“Kadangkala kita jadi kerajaan, kita akan rasa selesa. Jadi perlu untuk kita keluarkan duit poket kita untuk gerakkan sumbangan dan bukan bergantung semata-mata dengan dana kerajaan pusat,” katanya.

Sebanyak 10,000 pek makanan asas akan diagihkan ke seluruh negara menerusi program Jelajah Peduli Nadi Rakyat yang bermula hari ini.

No comments: