Azalina dedah RUU antilompat parti tiada dalam aturan mesyuarat sesi parlimen kali ini

 Panas! Azalina dedah RUU antilompat parti tiada dalam aturan mesyuarat sesi parlimen kali ini


Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman berkata dia menjangkakan sesuatu yang lebih “konkrit” daripada perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan pusat dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam webinar hari ini, dia meluahkan kekecewaan berhubung MOU itu kepada seorang lagi ahli panel iaitu ahli parlimen Seremban, Anthony Loke.

Anthony merupakan salah seorang pasukan perunding PH yang terlibat dalam rundingan perjanjian berkenaan.

“Betul tu, Anthony, dengan kamu dan pasukan kamu sebagai arkitek MOU itu, saya jangkakan sesuatu yang lebih konkrit, kerana itu akan benar-benar menjadi platform berbeza dan matang untuk ahli-ahli parlimen.

“Kenapa tak ada struktur tetap? Bagi saya, apabila kamu bercakap soal perubahan, terutamanya tentang pembaharuan parlimen, saya sangat teruja.

“Saya tak perlu meletakkan rang undang-undang (RUU) pecat sebagai RUU persendirian, (kerana saya) tahu bahawa kerajaan mempunyai undang-undang antilompat parti, tapi saya periksa aturan mesyuarat (untuk sesi parlimen ini), tak ada undang-undang antilompat parti.

“Jadi, gencatan politik apa yang kita kehendaki kerana tak ada ketetapan,” katanya merujuk kenyataan Loke sebelumnya yang menyifatkan MOU itu sebagai satu gencatan politik.

Antara pembaharuan yang dijanjikan di dalam MOU itu adalah undang-undang antilompat parti.

Azalina berkata, kerajaan sepatutnya memasukkan RUU antilompat parti di dalam aturan mesyuarat, meskipun di tempat terakhir dalam senarai.

Ini katanya, setidak-tidaknya menunjukkan komitmen Putrajaya untuk membentangkannya meskipun pada sesi akan datang.

Dia turut mempersoalkan kenapa MOU itu hanya ditandantangani oleh blok politik, berbanding semua ahli parlimen yang akan menjadikannya lebih adil.

Menjawab hal itu, Loke menjelaskan PH telah mengemukakan lebih banyak tuntutan semasa proses rundingan dengan kerajaan.

“Tetapi dalam proses rundingan, ada dua pihak. Kamu tak boleh capai semuanya sekali gus.

“Sudah tentu, terdapat tuntutan yang kami kemukakan yang tak dipersetujui oleh pihak kerajaan, tetapi jika tak dapat 100 peratus apa yang kita tuntut, adakah kita batalkan rundingan?

“Kami ambil pendekatan yang lebih sederhana. Pendekatan kami ialah, selagi kami mendapat perkara-perkara minimum yang disepakati, kami tak akan batalkan rundingan, kami akan teruskan,” kata setiausaha organisasi kebangsaan DAP itu.

Dia turut mengingatkan bahawa tanggungjawab digalas PH daripada MOU itu hanyalah untuk membantu kerajaan meluluskan Belanjawan 2022, dengan syarat PH mestilah dilibatkan dalam proses berkenaan.

Sekiranya terdapat perkara yang mereka tidak persetujui dalam draf belanjawan, mereka boleh terus berunding untuk membuat pindaan pada peringkat jawatankuasa,” katanya.

“Jadi, akhirnya, apabila kita luluskan belanjawan, ia adalah sesuatu yang dipersetujui kedua-dua belah pihak … hanya itu tanggungjawab di belah PH.

“Adakah itu sama dengan menyerah kalah? Saya tak fikir begitu. Sekarang ini, kami gunakan kedudukan kami sebagai pembangkang secara strategik untuk mencapai sebahagian matlamat yang tak dapat kami capai pada masa lalu,” katanya.

Terdapat pihak yang mempersoalkan sama ada tarikh tamat MOU pada 31 Julai 2022 sebagai tempoh MOU itu bertahan sehingga pembubaran parlimen seterusnya, dan kerajaan pun bersetuju untuk tidak akan mengadakan pilihan raya sebelum daripada tarikh itu.

Bagaimanapun, Loke menidakkannya. Katanya, kerajaan hanya berjanji tidak akan mengadakan pilihan raya sebelum 31 Julai 2022, tetapi itu tidak bermaksud

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh memutuskan untuk membubarkan parlimen jauh lebih lama lagi daripada itu.

“Tak ada apa-apa yang menghalang mereka untuk melengah-lengahkan sehingga habis penggal (untuk membubarkan parlimen) dan kami okey dengan itu kerana kami tak mahu ambil kuasa itu daripada dia.

“Ini bukan hanya sekadar MOU 10 bulan, ia boleh jadi lebih lama daripada itu,” katanya.

Pada Isnin, kerajaan dan PH menandatangani MOU, yang kerajaan berjanji akan melaksanakan beberapa pembaharuan dalam jangka masa tertentu sebagai balasan untuk PH membantu meluluskan Belanjawan 2022 dengan beberapa syarat.

Selain Azalina dan Loke, ahli panel yang menyertai webinar berjudul “MOU – Jalan ke arah transformasi dan kestabilan?” itu termasuk Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan profesor dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat.