Komuniti Texas bersatu bantu penyanyi promosi Malaysia di pesta muzik AS
PETALING JAYA: Sebuah komuniti di Jefferson, Texas bersatu untuk membantu penyanyi yang mendapat anugerah antarabangsa, Lyia Meta membuat persembahan dan mempromosikan Malaysia di pesta muzik Amerika Syarikat bulan depan.
Acara kutipan dana itu dilancarkan selepas Lyia dinafikan sokongan kewangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atas alasan “tiada dana”.
Lyia memohon RM60,000 untuk lawatan 10 hari ke Jefferson bersama suaminya merangkap pemuzik, Zack, yang akan membantu beliau mempromosikan budaya dan pelancongan Malaysia di dua seminar.
Kempen di Jefferson itu diketuai Preston Taylor, naib presiden East Texas Performing Arts, Inc, yang mempelawa Lyia ke “2021 Texas Sounds International Country Music Awards”.
Taylor dalam pesanan teksnya kepada Lyia berkata: “Kami mempunyai individu yang sedang mengumpul dana. Isteri dan anak perempuan saya menjadikannya misi mereka untuk membawa anda ke sini. Tiada apa yang pasti lagi, tetapi ia kelihatan baik.”
Katanya, masyarakat di Jefferson sedang mengumpul wang untuk penerbangan, penginapan dan perbelanjaan tambahan yang diperlukan untuk bayaran perjalanan serta kuarantin sekembalinya mereka dari Malaysia.
Lyia dan Zack turut dipelawa oleh Institut Pembelajaran Seumur Hidup Osher, dengan kerjasama Universiti Teknologi Texas untuk mempromosikan Malaysia sebagai “destinasi menarik buat pelancong AS”.
Mereka diminta mengetuai persembahan pelancongan dan kebudayaan di seminar yang akan dihadiri kira-kira 500 peserta dari pelbagai negara ketika pesta muzik dari 13 hingga 17 Okt itu.
“Penyertaan anda akan mendedahkan aspek Malaysia yang tidak diketahui kebanyakan hadirin.
“Kebanyakan rakyat AS tidak tahu mengenai kecantikan dan gaya hidup dinamik di negara anda,” demikian menurut jemputan Taylor.
Katanya, kehadiran Malaysia dalam pesta itu membuka peluang kepada penganjur meneruskan usaha mereka meningkatkan pemahaman budaya dan mempromosikan pelancongan antara negara.
Taylor, yang juga penerbit pesta itu berkata, wawancara televisyen akan “menyokong misi kami untuk merapatkan seluruh dunia”.
Lyia turut menerima surat daripada Presiden Dewan Perniagaan Daerah Marion, Paul Moore, yang mengalu-alukan beliau sebagai “aset” kepada komuniti mereka, yang berjanji akan mempromosi dan menyokong seminar itu.
Sejak 2014, pesta itu memfokuskan “muzik country” dan menarik pemuzik dari semua benua.
Lyia, yang dicalonkan untuk beberapa anugerah dalam pesta itu berkata: “Walaupun saya kecewa, saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan permohonan saya tahun depan kerana manfaat untuk negara dari segi promosi budaya dan pelancongan sangat besar.”
Katanya, ketika berada di Tennessee dan memenangi anugerah Artis Dunia Tahunan (2018) dan Artis Tahunan (pelbagai genre – 2019) di Anugerah Muzik Josie untuk artis bebas, ramai yang ingin tahu mengenai Malaysia.
“Mereka teruja mendengar mengenai negara kita yang mempunyai kepelbagaian budaya, perayaan agama dan makanan.”
Lyia berkata, perjalanannya ke Tennessee dengan suaminya ditaja individu yang “meminta kami membanggakan Malaysia”.