Aktivis mahasiswa terkenal, Adam Adli sertai KEADILAN
Aktivis mahasiswa Adam Adli dan rakan-rakan memilih untuk menyertai KEADILAN sebagai wadah perjuangan ditengah-tengah ketidaktentuan politik negara.
Penyertaan mereka disempurnakan dalam majlis serah borang di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya sempena Hari Malaysia, pagi tadi.
Menyambut penyertaan mereka, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi pidato alu-aluan, mengingatkan bahawa masih banyak anak muda yang mempertahankan idealisme biar pun di sekeliling mereka suasana bobrok politik diwarnai pengkhianatan dan perjuangan mengkayakan diri sendiri.
“Pada saya secara peribadi, bila saudara Adam Adli dan beberapa teman datang menemui saya, saya berasa bangga kerana hal ini muncul di kalangan aktivis muda yang terkenal dengan idelisme mereka.
“Mereka bukan anggota rasmi KEADILAN tetapi penggerak reformasi rakyat. Ini kita alu-alukan, anggota baru pelbagai kalangan tetapi ada kekuatan istimewa kalau yang menggerakkan itu ada asas idealisme perjuangan.
“Anak muda itu tidak diukur dari hanya umur mereka tetaapi idealisme mereka yang menjadi tunggak asas perjuangan. Kalau di kalangan anak muda terhakis semangat dan daya juang, sudah bersekongkol dengan koruptor dan kelu membisu terhadap kezaliman maka ia tidak masuk dalan kategori muda dalam perjuangan,” katanya.
Oleh itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengharapkan peranan Adam Adli dan rakan-rakan aktivis untuk menarik lebih banyak anak-anak muda ke dalam perjuangan KEADILAN serta PH sebagai pemimpin pelapis masa hadapan.
“Jadi saya bagi pihak KEADILAN hari ini rasa gembira luar biasa di Hari Malaysia ini, kerana dalam simpang siur dan sepak terajang politik yang pelbagai, ada idealisme, ada pengkhianatan, malah ada koruptor. Maknanya proses pembersihan, menggilap idealisme itu harus kekal untuk tidak korbankan prinsip perjuangan.
“Saudara Adam dan rakan-rakan, silakan bertarung dalam perjuangan. Ini bukan parti politik biasa. Saudara belum pun jadi anggota KEADILAN sudah dianggap keluarga KEADILAN, apatah lagi sudah menjadi anggota parti, itu cabaran lebih besar untuk mempastikan wadah ini terus menjadi wadah rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Sementara itu, Adam yang melahirkan rasa gembira menjadi sebahagian anggota KEADILAN biar pun telah berjuang bersama sejak 2012 lalu mengucapkan penghargaan kerana dialu-alukan sebagai sebahagian generasi baharu pejuang keadilan.
“Kali pertama saya menjengah ke dalam politik adalah sebagai aktivis mahasiswa di peringkat kampus, kemudian peringkat nasional kurang lebih setahun lalu.
“Penglibatan saya ketika itu kadang mengangkat isu reformasi pilihan raya, kadang kita mengisi perut warga miskin kota.
Perjanlaan panjang dalam gerakan politik tersebut mendidik saya yang mungkin tidak dapat diperolehi di tempat lain
“Dengan pengalaman tersebut, lahir kepercayaan yang semakin tinggi, apa pun bentuk perubahan yang diperjuangkan kita harus kembali ke asas permasalah itu sendiri, iaitu sistem politik
“Ia tidak akan dirobah dengan sendirinya. Keputuan (sertai KEADILAN) hari ini tidak lahir secara semberono, jauh sekali apa-apa kepentingan yang mencalarkan niat baik di sebaliknya. Keputusan hari ini adalah lambang tekad yang bertahun lamanya,” kata Adam.
Seorang lagi aktivis mahasiswa, Asreeq Ali yang mula dikenali selepas demonstrasi mahasiswa pada 2016 dan 2017 merasa teruja diterima sebagai anggota baharu KEADILAN dan akan menyumbang kepada usaha memperkukuhkan perjuangan rakyat menuntut hak dan kebajikan.
“Anak muda merupakan pemimpin negara yang harus diangkat. Anak muda tidak patut tidak dihiraukan oleh semua pemimpin parti politik.
“Untuk itu kami hari ini membuat keputusan menyertai KEADILAN. Saya percaya sudah tiba masanya untuk saya mengambil bahagian dalam politik nasional.
“Kita tahu kes bunuh diri dan pengangguran semakin meningkat, terutama dalam kalangan anak muda. Maka sudah tiba masanya untuk politik berasaskan kepentingan peribadi dan wang dihentikan. Benda ini amat merbahaya untuk masa depan kami anak muda.
“Masa depan kami terabai oleh kerakusan pemimpin sesetengah parti politik. Saya memilih (berjuang) di bawah platform KEADILAN di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Selain dua aktivis mahasiswa berkenaan, terdapat berbelas-belas aktivis lain turut menyertai KEADILAN dan mereka hadir untuk menyerahkan borang pada majlis pagi tadi.
Turut hadir dan memberikan ucapan alu-aluan adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir serta beberapa pimpinan AMK yang lain