PARLIMEN BUBAR SELEPAS 21 JULAI 2021 BERI PELUANG ISMAIL SABRI AMBIL ALIH KEPIMPINAN UMNO LEBIH DULU.

 

Antara perkara yang dipersetujui dalam MOU yang dimetrai oleh kerajaan dengan PH ialah Parlimen tidak akan dibubar sebelum 31 Julai tahun depan.

Ia bertujuan agar beberapa rang undang-undang yang dipersetujui bersama dalam MOU itu dapat dibentangkan di Parlimen dan seterusnya diluluskan tanpa banyak masalah.

Antaranya ialah rang undang-undang anti lompat, undi 18 dan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun.

Bermakna, sekurang-kurangnya sehingga 31 Julai tahun depan, Ismail Sabri Yaakob akan terus kekal mengetuai kerajaan yang dipimpinnya sekarang.

Selain tidak membubarkan Parlimen sebelum Julai tahun depan, secara tersiratnya juga melalui MOU itu Ismail Sabri memperolehi jaminan sokongan daripada PH untuk terus menyokongnya jika ada pihak lain seperti kelompok tertentu dalam UMNO atau puak kiri Bersatu misalnya, yang ingin menjatuhkannya.

Tarikh tersebut adalah berbeza dengan tawaran kerjasama rentas parti oleh Mahiaddin Md Yasin sebelum ini yang menjanjikan PRU15 akan diadakan selewat-lewatnya Julai 2022.

Dalam erti kata lain, Mahiaddin menawarkan PRU15 akan diadakan sebelum Julai, manakala Ismail Sabri hanya akan membubarkan Parlimen selepas Julai 2022.

Apakah makna selepas Julai 2022 itu?

Dalam hal berkaitan, harus difahami bahawa dalam surat kelulusan Pejabat Pendaftar Pertubuhan atau RoS memberi kebenaran penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan ialah pemilihan parti itu mesti diadakan sebelum Disember 2022.

Boleh jadi atau atau biasanya pemilihan UMNO peringkat pusat akan diadakan pada Oktober atau November 2022.

Biasanya juga pada Julai sehingga Oktober akan berlangsung pemilihan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian-bahagian.

Ini bererti, adalah tidak mungkin Ismail Sabri bertindak membubarkan Parlimen sebaik saja bulan Julai berakhir kerana pada waktu itu UMNO peringkat cawangan dan bahagian seluruh negara sedang sibuk mengadakan mesyuarat masing-masing.

Tempoh selepas itu juga tidak sesuai untuk diadakan PRU15 berikutan pemilihan UMNO peringkat pusat mesti diadakan sama ada Oktober atau November iaitu sebelum Disember 2022.

Apatah lagi dengan UMNO sudah jadi kerajaan sekarang, kemeriahan berkempen, membelanja perwakilan makan di hotel-hotel dan sebagainya seperti sebelum ini sudah pasti kembali semula dengan sendirinya.

Ia bermakna tempoh berkempen yang munasabah haruslah diperuntukkan.

Makna kata, tarikh paling sesuai untuk Ismail Sabri membubarkan Parlimen ialah pada awal 2023 iaitu selepas pemilihan UMNO diadakan.

Berdasarkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri ketika ini sementara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sedang dibicarakan di mahkamah, begitu juga dengan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan, hampir pasti pemilihan UMNO tahun depan akan menyaksikan perubahan teraju kepada kepimpinan baru.

Mudah kata, melalui MOU yang memberi keselesaan kepada Ismail Sabri mengadakan PRU15 hanya selepas Julai 2022, ertinya selamat jalanlah buat kumpulan kluster mahkamah dalam UMNO dan mereka yang menjadi penyokongnya sekarang ini.

Tiada ruang atau kalau ada ruang pun, semakin sempit untuk kluster mahkamah mampu mengekalkan jawatan mereka.

Ismail Sabri akan mendepani PRU15 dengan beliau sendiri akan mengetuai UMNO pada waktu itu. –


 ShahbudinHusin 16/09/2021.




No comments: