Ahli politik takut IPCMC, beri alasan ‘menyedihkan’, kata bekas KP SPRM


MOHD FADLI



Abu Kassim Mohamed berkata, komitmen tinggi daripada pemimpin tertinggi negara iaitu perdana menteri sehingga rakyat diperlukan untuk mengubah negara menjadi benar-benar bebas rasuah.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) gagal diwujudkan kerana “ketakutan” ahli politik yang memberi pelbagai alasan yang sangat menyedihkan, kata bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed.

Beliau yang juga bekas Ketua pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) berkata, jika IPCM diwujudkan, ia mampu menghasilkan pasukan polis yang benar-benar bebas rasuah.

“Saya cakap terus terang ketakutan ahli-ahli politik tentang IPCMC dan saya lihat hujah-hujah yang hanya bertujuan memberi sebab untuk tidak menerimanya dan ini amat menyedihkan.

Abu Kassim menyifatkan IPCMC sebagai cadangan yang baik untuk memerangi salah laku dalam agensi penguatkuasaan dalam webinar perdana bertajuk “Cegah Rasuah, Cakna Integriti” anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) malam tadi di Facebook.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran utama dihadapinya dan pasukannya dalam melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Pada 10 Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Polis (IPCC) di Dewan Rakyat bagi menggantikan IPCMC yang ditangguhkan pada 2019.

Kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) bercadang menubuhkan IPCMC bagi mengurus isu berkaitan salah guna kuasa oleh anggota polis yang bertujuan membolehkan siasatan bebas dijalankan ke atas aduan melibatkan pasukan itu, namun dibantah oleh beberapa pihak atas alasan berkaitan keselamatan.

IPCMC dicadangkan bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan berperanan menjalankan siasatan berhubung salah laku polis.

Dalam pada itu, Abu Kassim berkata, untuk mengubah negara menjadi benar-benar bebas rasuah memerlukan komitmen tinggi daripada pemimpin tertinggi negara, iaitu perdana menteri sehingga rakyat.

Katanya, semua negara termasuk Malaysia menghadapi masalah rasuah sama ada rasuah dijadikan alat untuk dapatkan kuasa atau untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.

”Bila dapat kuasa, dia pun lupa tentang usaha nak lawan rasuah.

“Bila nak buat ‘reform’ dan buat laporan berkesan yang akan membawa perubahan yang dirasai rakyat mahu tak mahu pemimpin negara harus memberi komitmen yang cukup tinggi dan berterusan,” katanya.


No comments: