PESAN ANWAR SEMPENA AIDIL ADHA – YAKIN DENGAN PERJUANGAN, JANGAN JADI HAMBA HARTA, PANGKAT DAN KUASA


 Sekali lagi umat Islam akan meraikan Aidiladha dalam norma baru yang serba terbatas demi kepentingan dan keselamatan semua.

Kita mengimbau semula peristiwa bersejarah tatkala Nabi Ibrahim diuji dengan perintah mengorbankan anak sulungnya, Nabi Ismail atas nama keyakinan.

Perintah ini pastinya tidak mudah untuk dilaksanakan oleh sang ayah dan juga sang anak, namun atas dasar keyakinan kepada rencana Tuhan, detik-detik getir saat bilah pisau hampir mengenai tengkuk anakandanya diharungi dengan selamat.

Allah SWT mendatangkan penyelesaian, dan Nabi Ismail terselamat. Mereka berdua lulus.

Sikap ini memerlukan tekad yang ampuh sebagai syarat menempuhi badai yang kuat menghempas.

Ibadah haji melatih umat untuk bersikap cekal dan sederhana, di samping meraikan kesamarataan dan kepelbagaian.

Berangkatnya umat ke tanah suci berpakaian serba putih menandakan kesediaan mencorak peribadi baru yang tidak tunduk pada keangkuhan dan kemewahan yang melampau.

Renungkan semula wasiat Rasulullah SAW tatkala baginda menatap wajah ribuan generasi awal Muslimin di padang Arafah dalam Khutbah Haji terakhirnya yang menyeru pada nilai-nilai keadilan dan kesejagatan.

Sungguh yang demikian merupakan pengajaran abadi buat seluruh umat manusia sebagai panduan dalam perjuangan agar tidak terjerumus ke lembah kezaliman.

Justeru raikanlah Aidiladha ini dengan penuh penghayatan terhadap makna hakikinya.

Letakkanlah keyakinan kepada masa depan perjuangan kita, merdekakan diri daripada diperhambakan oleh harta, pangkat dan kuasa.

Bersegeralah membantu rakyat yang susah dengan penuh kerendahan jiwa. InshaAllah, kemenangan pasti akan tiba.

ANWAR IBRAHIM

Presiden PKR/Pengerusi PH.

No comments: