PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut apabila mendapat tahu hanya 615,210 dos vaksin Covid-19 diberikan kepada negeri itu, bukannya 2.9 juta seperti didakwa sebelum ini.
Setiausaha sulit Sultan Selangor Mohamad Munir Bani berkata, baginda menegaskan peruntukan itu adalah tidak adil kerana ia sama sekali tidak seimbang dengan populasi keseluruhan penduduk Selangor.
“Baginda terkejut apabila disahkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sehingga 1 Jun lalu, Selangor hanya menerima sejumlah 615,210 dos vaksin Covid-19, bukan 2.9 juta dos seperti didakwa sebelum ini.
“Tegas baginda lagi, adalah tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan di negeri Selangor yang berjumlah 6.5 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Munir juga menegaskan baginda mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan kepada negeri terbabit.
Kata Munir, dalam situasi sekarang Sultan Sharafuddin berpendapat nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda lain.
“Nyawa rakyat haruslah diberi keutamaan berbanding agenda lain,” katanya.
Katanya, Sultan Selangor juga mahu jumlah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor ditambah, khususnya di kawasan luar bandar.
“Baginda berpandangan pemberian vaksin secara pandu lalu atau klinik bergerak mampu mempercepatkan proses dan meluaskan liputan vaksinasi,” katanya.
Pada masa sama Munir berkata, Sultan Selangor turut memuji langkah kerajaan negeri yang kini agresif melakukan ujian saringan Covid-19 secara percuma untuk rakyat.
Sultan Selangor turut berharap, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri itu.
Dalam pada itu Munir berkata, Sultan Selangor juga melahirkan rasa kecewa baginda susulan kewujudan golongan antivaksin di negeri itu.
“Baginda kecewa dan tidak berkenan dengan kewujudan golongan antivaksin di Selangor dan berharap rakyat tidak mudah terpengaruh dengan pemahaman terpesong seumpamanya.
“Baginda percaya vaksin mampu menyelamatkan nyawa individu dan juga sesebuah komuniti, khususnya daripada wabak berbahaya seperti Covid-19,” katanya.
Katanya, Sultan Selangor juga bimbang jika masih ada individu atau kumpulan yang berdegil untuk menerima suntikan vaksin Covid-19, sasaran untuk mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini tidak akan tercapai.