MB Kedah tidak perlu beri alasan


Puad Zarkashi

Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor tidak perlu memberi alasan walaupun bukan beliau yang memandu uji kenderaan di sebuah pusat jualan dan pameran kenderaan di Autocity Juru, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Ini kerana pusat jualan kereta dan aktiviti pandu uji tidak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, menteri besar itu sepatutnya mencontohi Datuk Seri Najib Razak yang tidak pun menafikan apabila video tular kerana tidak melakukan imbasan suhu badan ketika datang ke sebuah restoran nasi ayam.

Mohd Puad berkata, sebelum ini ada seorang menteri menafikan ditahan polis dalam operasi sekatan jalan raya walaupun Ketua Polis Trengganu telah mengesahkannya dan siasatan diambil alih oleh Bukit Aman.

Namun sehingga hari ini tiada penjelasan oleh mana-mana pihak insiden perdana menteri tidak pakai pelitup muka ketika memasuki lobi Hotel Zenith di Johor Bahru pada 31 Mac lalu.

Soal Mohd Puad: “Apakah itu ‘attitude’ pemimpin PN. Nafi, diam diri dan saman. Mereka seperti yakin akhirnya rakyat akan senyap dan melupakannya.

”Ingatlah, keindahan Islam itu diteladani, bukannya jadi pelindung kemunafikan.” ujarnya.

Semalam, Sanusi menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes yang dikaitkan dengan beliau.

Setakat semalam, lima individu telah panggil untuk dirakamkan keterangan berhubung siasatan ke atas Sanusi yang didakwa memandu uji kenderaan pacuan empat roda di Juru, ketika sekatan pergerakan penuh.

Siasatan dakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Siasatan itu dibuat selepas polis menerima laporan beberapa gambar dan video tular di laman sosial Facebook memaparkan individu dipercayai Sanusi sedang memandu uji sebuah kereta jenis Ford Raptor.

Kejadian itu didakwa berlaku ketika Menteri Besar Kedah bersama pemandu dan pengawal peribadi berhenti di Juru untuk membeli makanan ketika perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi kerajaan. 

No comments: