Sejak semalam, keadaan dalam negara agak bergegar dengan berita mengenai Yang Dipertuan Agong diberitakan akan memanggil ketua-ketua parti untuk mengadap baginda pada 9 hingga 11 Jun ini.
Meskipun gambaran awal mengatakan pertemuan itu berkemungkinan berkenaan sesuatu perubahan dalam negara, tetapi semakan dengan pelbagai pihak mengatakan ia lebih bertujuan untuk Agong mendapat gambaran atau pandangan berhubung situasi semasa dalam negara daripada ketua-ketua parti yang ditemui itu.
Khusus dikatakan yang menjadi perhatian serius baginda ialah berkaitan isu Covid19 dan proklamasi darurat yang sedang membelenggu resah serta gelisah rakyat ketika ini.
Dengan demikian, haruslah disedari bahawa pertemuan dengan ketua-ketua parti itu dengan sendirinya menyerlahkan keprihatinan Agong terhadap keadaan negara yang tidak menentu, ditambah dengan lemahnya kerajaan dan Mahiaddin Md Yasin dalam memimpin negara.
Sehubungan itu, usaha baginda mengadakan pertemuan itu bukan saja sesuatu yang baik, malah harus dipuji kerana Agong sebagai ketua negara terbukti memahami denyut nada rakyat di bawah ini.
Bagi tujuan mendapat maklumat yang lebih jelas dan telus, difahamkan pertemuan itu akan dilakukan secara seorang demi seorang mengadap baginda di Istana Negara.
Maklumat lain menyebut, selepas pertemuan dengan ketua-ketua parti nanti, turut menyusul kemudiannya ialah mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.
Begitu pun, apa yang penting di sini, semua ketua-ketua parti yang selama ini telah secara terbuka menzahirkan bahawa kerajaan PN ini gagal mentadbir negara, gagal mengurus Covid19, gagal membina ekonomi, gagal menjaga rakyat dan gagal menjamin demokrasi yang subur sehingga Parlimen dimandulkan, mereka haruslah berterus-terang dan menyatakannya secara jujur pandangan mereka kepada baginda.
Mereka juga harus memaklumkan kepada baginda bahawa darurat ini bukan setakat gagal membendung Covid19 dan tidak terlihat fungsinya untuk memerangi wabak tersebut, yang menonjol hanyalah bagaimana ia telah diselewengkan tujuannya semata-mata untuk menongkat kuasa Mahiaddin yang semakin genting sebagai Perdana Menteri.
Dengan itu, darurat ini wajar ditamatkan dan lebih baik lagi jika dipercepatkan tarikh penamatannya.
Berdasarkan kepada segala kegagalan itu, yang busuk dan tercemar kini tidak saja PN sebagai kerajaan dan parti-parti yang menyokongnya, malah nama serta imej negara yang dinaungi Agong juga.
Jika ramai ketua parti atau sebahagian besar daripada mereka yang mewakili majoriti Ahli-Ahli Parlimen dapat berbuat demikian, kebarangkalian negara ini dapat diselamatkan adalah lebih cerah lagi.
Ketua-ketua parti, sama ada dalam PH dan blok pembangkang yang selama ini memang diketahui sentiasa menegur kerajaan, mereka harus menganggap pertemuan dengan Agong yang bermula esok itu sebagai suatu peluang terbuka dan keemasan yang datangnya hanya sekali saja.
Lebih penting lagi ialah buat UMNO, walaupun mereka sebahagian daripada kerajaan, tetapi oleh kerana lebih berwatak pembangkang sejak kebelakangan ini, inilah juga masanya untuk mereka menyatakan pendirian sebenar tentang kerajaan PN.
Semuanya mesti memberi gambaran yang sebenar, betul dan jujur kepada Agong mengenai keadaan negara ini di mana selain Mahiaddin telah terbukti gagal selama ini, kerajaan PN hanya akan menambah lebih banyak rekod kegagalan lagi jika terus memimpin negara ini.
Hanya dengan berterus-terang dan tidak lagi terus mempertahankan kerajaan gagal ini, barulah ada sinar di hujung terowong kepada mungkin atau perlunya sesuatu dilakukan untuk memulih dan menyelamatkan negara ini daripada terus berada dalam kegagalan.
Jika tidak, sama-samalah kita bersedia untuk tenggelam dengan kegagalan yang semakin hari semakin parah ini. (ShahbudinHusin 8/6/2021)