PETALING JAYA: Isu bekalan vaksin Covid-19 adalah kegagalan terbesar kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin, kata Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, suara rakyat yang sedang resah dan dihimpit dengan suasana politik dan ekonomi yang berkecamuk mengundang titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang berpandangan Parlimen perlu bersidang segera.
Katanya, senario yang berlaku ketika ini jarang berlaku dalam sejarah pentas politik tanah air negara.
“Dari awal perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ‘lockdown’, segala langkah itu ada kemunasabahannya tetapi kita mesti mula dengan vaksin.
“Kegagalan paling besar PN adalah penyediaan vaksin secukupnya, mereka buat kenyataan rambang ikut selera politik untuk cuba … saya tak mahu sebut menipu tapi tentunya mengelirukan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2020 secara maya hari ini.
Sebelum ini, Presiden PKR itu juga berulang kali menyuarakan kekecewaannya terhadap cara negara menangani pemberian vaksin kepada rakyat yang disifatkannya sangat perlahan.
Malah beliau turut mengkritik sistem pendaftaran vaksin di aplikasi MySejahtera yang merumitkan penduduk khususnya di kawasan pedalaman.
Anwar menambah, jika perkara itu tidak ditangani dengan segera, mustahil negara dapat menyelesaikan masalah berkenaan sehingga akhir tahun.
“Sebab itu, pimpinan yang ada sekarang mempunyai peranan besar dan jika mereka itu hanya bertugas untuk khianat dan rebut jawatan tetapi gagal menjalankan tugas, maka malapetaka itu akan menimpa rakyat,” kata Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.
Pada 15 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan perutusan Pelan Pemulihan Negara dilaporkan berkata, sidang Parlimen boleh diadakan sekitar September atau Oktober.
Keesokannya, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bertitah baginda berpandangan sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin untuk membahaskan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, pandangan Agong berhubung persidangan Parlimen tidak memperincikan bila ia perlu dilaksanakan.