Najib pula sekolahkan Shahidan, notis 28 hari sebelum Parlimen bersidang boleh diketepikan

 


Panas! Najib pula sekolahkan Shahidan, notis 28 hari sebelum Parlimen bersidang boleh diketepikan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta pihak yang pernah mentadbir negara perlu memahami proses Parlimen bahawa peraturan memberi notis 28 hari sebelum Parlimen memulakan persidangan boleh diketepikan di bawah Peraturan Mesyuarat 9(2)(a).

Beliau menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa berkata, perkara itu juga tidak menjadi masalah sekiranya kerajaan tidak mahu menggunakan peraturan mesyuarat sedia ada untuk mengetepikan tempoh minima notis 28 hari.

Najib bagaimanapun turut mempersoalkan adakah kerajaan tidak pernah mendengar frasa sesi Parlimen tergempar.

“Tidak kira kerajaan mempunyai kuasa penuh darurat atau tidak, jika sesebuah kerajaan tidak mampu mengatasi segala isu perundangan dan peraturan yang ditetapkan sendiri bagi menurut titah Majlis Raja-Raja untuk menghadapi keadaan amat kritikal pada rakyat, jangan harap hendak menyelesaikan masalah rakyat atau mentadbir negara dengan baik,” katanya.

UMNO melalui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan dikeluarkan parti itu pada Isnin.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kemudian berkata, pihak yang pernah mentadbir negara sepatutnya memahami proses bagaimana urusan memanggil sidang Parlimen.

Mengulas lanjut, Najib turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak boleh mengetepikan notis 28 hari untuk bersidang sedangkan seperti di dalam Ordinan Darurat mereka boleh mengambil alih Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Kem Wawasan serta menggantung Akta Kewangan untuk membenarkan perbelanjaan sesuka hati.

“Nak tipu siapa? Nak gaduh tentang isu minimum 14 ke 28 hari pun tidak berbaloi.

“Sebab persoalan utama bukan isu tempoh 14 atau 28 hari tetapi adakah kamu sudah hantar notis atau belum?,” soalnya.

No comments: