PH berpotensi bertapak di Pantai Timur jika ada rakan strategik

 


POSTED BY AMIR WRLR


Umno dalam perhimpunan agungnya seminggu lalu telah secara rasmi memutuskan hubungan dengan Bersatu, manakala Pas pula membuat kenyataan akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional, menyebabkan persaingan politik di seluruh negara, khususnya di Pantai Timur kembali terbuka.

Sebelum ini, di Pantai Timur dengan kerjasama dalam Muafakat Nasional, kemenangan Umno dan Pas telah dipastikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15

Bagi penganalisis politik Dr Mazlan Ali, perkembangan terbaharu memungkinkan Pakatan Harapan (PH) 'membuat kejutan' di kubu Pas sekiranya memilih rakan strategik yang betul.

"Umno bertanding secara solo dengan tiga penjuru mungkin mengekalkan status quo, kecuali Umno berkerjasama dengan PH maka mungkin boleh memberi tentangan untuk merampas semula negeri-negeri Pantai Timur.

"Umno walaupun memutuskan hubungan dengan Bersatu tetapi pertandingan di Pantai Timur ini sebenarnya antara Pas dan Umno. Tanpa bergabung dengan mana-mana parti pun Pas mampu menawan Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kecil Kedah. Apabila mereka bergabung dengan Bersatu, mereka mungkin ada sedikit kelebihan," kata Dr Mazlan ketika dihubungi Suara Keadilan.

Menurutnya, Umno perlu memikirkan strategi yang betul menghadapi PRU 15. Bertanding secara solo boleh diterima di negeri-negeri tertentu namun di Terengganu yang Pas mempunyai pengaruh, misalnya masuk pilihan raya secara solo bukanlah pilihan terbaik.

"Saya fikir Umno secara solo mungkin mereka bergelut juga untuk menawan negeri Terengganu tanpa mereka membuat kerjasama dengan mana-mana parti politik yang lain di sini

"Tetapi sekiranya Umno mampu bekerjasama dengan PH, ada kemungkinan Umno boleh menguasai negeri ini," katanya lagi.

Dalam PRU ke 14 Pas berjaya menawan Terengganu apabila berlaku pertembungan 3 penjuru antara PH, BN dan Pas yang memecahkan undi Melayu.

Namun bagi kebanyakan penganalisis politik, kemenangan Pas lebih kepada gelombang penolakan terhadap pentadbiran PM Najib Razak. Sedangkan Pas tidak mempunyai banyak keahlian di Terengganu berbanding Kelantan. Menurut mereka Pas hanya mempunyai sokongan padu di DUN Wakaf Mempelam, Rhu Redang dan beberapa DUN lain.

Oleh itu, sekiranya Umno dan PH bersama menggempur Pas dalam PRU 15, tidak mustahil Pas akan hilang Kerajaan Negeri.

 

No comments: