BERBANDING MENGGERUNKAN LAWAN, PAS LEBIH GERUN HILANG NIKMAT KEMEWAHAN

 

Agak menarik apabila Presiden Putra, Ibrahim Ali secara terus-terang berkata, kerjasama Pas dengan Bersatu dalam PN untuk mendepani PRU15 bukanlah suatu gabungan yang menggerunkan.

Menurut beliau, Bersatu bagi Pas hanyalah tali hayat yang membolehkannya menumpang berada dalam kerajaan dan mengekalkan jawatan yang dipegang sekarang.

“Maklum, baru belajar untuk bermewah,” katanya sinis.

Menghuraikan dengan panjang lebar hujah-hujahnya, Ibrahim menambah, kerjasama Pas dengan Bersatu tidak sekuat ketika parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) kerana parti yang ditubuhkan oleh Mahiaddin Md Yasin itu tidak mempunyai akar umbi yang kukuh.

“Bersatu pada dasarnya sekadar mempunyai jumlah ahli yang kecil, tetapi dilihat ramai kerana majoritinya dicuri dari UMNO.

“Kena ingat, ketika PRU14, Bersatu hanya menang 13 kerusi sahaja, itu pun kerana sokongan undi masyarakat Cina dan India dari PKR, DAP dan Amanah ketika mereka bersama dalam Pakatan Harapan (PH),” tambahnya.

Bagi Pas pula, ujarnya, parti itu hanya ada kekuatan dan sokongan di Kelantan, Terengganu dan sedikit di Kedah.

“Bagaimanapun, kebelakangan ini sokongan kepada Pas di negeri-negeri berkenaan itu hanya daripada kalangan yang tegar dan kadernya sahaja.

“Dari segi orang ramai terutama pengundi atas pagar dan golongan muda, ramai yang sudah mula merungut serta tidak senang hati dengan Pas atas banyak sebab,” jelas bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi.


Di samping itu, kata Ibrahim, Pas tidak mempunyai banyak sokongan di Johor, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Perak, Penang dan Sabah.

“Sebab itu Pas tidak menang walau satu kerusi Parlimen pun, kecuali di Kelantan, Terenganu dan Kedah. Sememangnya ada undi Pas, tapi tidak besar impaknya, terutama dalam suasana politik sekarang.

“Pas tidak boleh mengharapkan undi dari Bersatu, apatah lagi di Pantai Timur dan utara, malah di semua negeri,” ujarnya lagi.

Ibrahim juga melihat Pas sudah kelihatan cemas apabila UMNO menolak untuk menyertai PN, sekali gus memutuskan hubungan dengan Bersatu.

“Ia bukan ancaman kepada perpaduan ummah atau kerana untuk agenda bangsa dan Islam, tetapi bimbang dan khuatir akan kecundang dalam PRU15 nanti.

“Maka, terpaksalah terus beretorik dengan bunyi guruh di langit, tapi hujan tak turun. Ibarat kata pepatah, kita boleh tipu dan bohong pada rakyat dengan pelbagai helah, tetapi kita tidak boleh tipu rakyat sepanjang masa.

“Ketika PH dijatuhkan dan PN mendapat kuasa kononnya kerajaan Melayu Islam kembali berkuasa, namun sudah lebih setahun, mana hasil agenda Melayu dan Islam?” soal beliau.

Ibrahim turut berpandangan, calon yang melompat parti, sama ada daripada UMNO atau PKR yang kini berada di dalam Bersatu, mereka itu sukar untuk menang dalam PRU15 akan datang.

“Sudah pasti, gelap masa depan PN dan Pas jika dapat kekal 18 kerusi pun dikira sudah bernasib baik,” tegasnya dengan yakin.

Rasanya ramai yang setuju dengan pandangan serta hujahan Ibrahim berkaitan Pas, Bersatu dan PN kali ini.

Realitinya itulah yang sebenarnya ada di depan mata, sebab itu, meskipun setelah Pas membuat keputusan untuk bersama Bersatu dalam PN dan meninggalkan UMNO terkontang-kanting sendirian meratapi musnahnya istana pasir MN, Pas masih berharap UMNO dan semua parti-parti Melayu memberikan sokongan kepada PN.

Jika PN sudah cukup kuat dengan adanya kerjasama Pas dan Bersatu, untuk apa lagi diharapkan sokongan parti lain, terutamanya UMNO?

Di pihak Bersatu pula, meskipun UMNO telah memuktamadkan putus hubungan dengannya, pimpinan parti itu masih lagi mengharapkan sokongan UMNO untuk bersama PN dengan hujah demi perpaduan Melayu dan penyatuan ummah kononnya?

Tidakkah ini juga memperlihatkan Bersatu sendiri sedar, sekadar Pas saja bersama mereka dalam PN, kekuatannya belum cukup untuk mengekalkan kuasa yang ada?

Begitu juga dengan kluster menteri dalam UMNO, keinginan mereka untuk membawa UMNO secara total bekerjasama dengan Bersatu dalam PN, ia tidak lain adalah kerana mereka turut sedar, kerjasama Pas dan Bersatu semata-mata tidak akan mampu ke mana-mana.

Sementara Pas, Bersatu dan kluster menteri terlihat terus berharap serta berusaha agar UMNO dapat dibawa bekerjasama dalam PN, sebaliknya UMNO yang disokong dengan ketetapan akar umbi tetap cekal dengan ketetapan putus hubungan serta pendirian untuk bersendirian dalam PRU akan datang.

Makna kata, kerjasama Pas dengan Bersatu yang terbentuk sekarang bukan saja tidak menggerunkan, malah kedua-dua parti tersebut masih lagi gerun akan kehilangan kuasa dan nikmat bermewah yang baru berpeluang belajar menikmatinya. 


(Shahbudindotcom 06/04/2021)





No comments: