Adakah Umno akan diharamkan?

 

HOWARD LEE

Sesuatu yang besar nampaknya sedang dalam perancangan iaitu nyahdaftar Umno oleh Pendaftar Pertubuhan yang dijangka selesai dalam bulan Jun. Ada yang berpandangan bahawa kedudukan Umno tidak akan terjejas kerana mereka masih mempunyai Barisan Nasional (BN) yang boleh digunakan kelak. Namun, sejauh mana pandangan ini benar?

Langkah ini – tidak lain dan tidak bukan – hanyalah suatu krisis epik yang direkayasa hanya untuk mencetuskan rombakan ke atas keseluruhan lanskap politik orang Melayu. Kebarangkaliannya lebih tinggi bilamana MCA dan MIC kelihatan lebih rela berlaga pipi bercium mulut dengan pemain kuasa dari Perikatan Nasional (PN).

Berminggu-minggu lamanya, khabar angin bahawa MCA, MIC dan PBRS bakal meninggalkan BN untuk menyertai PN sedang memenuhi setiap penjuru lorong-lorong gelap yang dipenuhi oleh pemain politik.

BN hanya tinggal empat parti sekarang ini, dan sekiranya Umno ditinggalkan lagi sendirian terkontang-kanting; maka, sudah tentu, BN juga bakal dinyahdaftar. Jadilah ahli-ahli parlimen dan pucuk pimpinan mereka seperti gelandangan, tiada lagi rumah yang selesa untuk berteduh.

Bersama-sama dengan PN, Bersatu dan Muhyiddin sudah pasti memberi kelebihan, jaminan dan keselesaan kepada MCA dan MIC kerana merekalah pemegang kantung wang ringgit negara. Puluhan juta telah pun mengenyangkan perut busuk barisan politikus MCA dan MIC, jadi, memanglah sukar untuk mereka menggigit tangan yang memberi, biarpun tanpa mengira prinsip dan persahabatan. Bagi mereka, nilai sesebuah kesetiaan terletak hanya pada wang dan kuasa. Apalah sangat nilai 60 tahun perjuangan bersama UMNO.

Keadaan ini dijelaskan lagi dengan beberapa Mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang dibatalkan pada saat-saat akhir, dek kerana perangai MCA dan MIC yang memilih untuk tidak hadirkan diri. Sama sahaja seperti pasangan bercinta yang akhirnya berpisah, dek kerana memilih untuk elak berjumpa.

Permainan Muhyiddin sekarang adalah untuk membunuh UMNO dengan menghapuskan dahulu ‘kluster mahkamah’, lantas membuka ruang kepada penyitaan UMNO. Dengan matinya UMNO tanpa sebarang pelan sandaran, serta dipinggirkan sekutu utama mereka, maka Muhyiddin dan Bersatu berbondong-bondonglah mengutip sisa-sisa UMNO (ahli-ahli parlimennya) bak laskar-laskar yang ditinggalkan tidak bertuan.

Begitulah hebatnya rancangan perpaduan ummah teragung yang diusahakan PN dan beberapa pihak di dalam MN. Cumanya, UMNOlah yang menjadi korban sampingan yang akan ditelan dan dicerna daripada dalamnya sendiri.

Menjelang dan pasca-pengumuman Muhyiddin untuk membatalkan pendaftaran UMNO akan dilihat sebagai suatu insiden caca-marba perebutan ahli-ahli Parlimen UMNO yang terkapai-kapai di pasaran jualan murah akhir tahun. Tetapi, sebenarnya, ‘jualan pre-launch’ sudahpun berjalan lancar, tanpa kita sedar.

Ekspedisi memancing tajaan Muhyiddin dan konco-konconya dengan slogan ‘Sertai Kami Sekiranya Anda Mahu Terus Berdiri, ataupun Kekal Di Sana dan Anda Akan Dihapuskan’ bukan lagi suatu rahsia. Berduyun-duyun ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pakatan Harapan telah mengalami keadaan ini untuk jangka masa lebih dari setahun, malah sebelum Langkah Sheraton ada lagi. Nampaknya, UMNO pada hari ini sedang menelan kepahitan pil “cyanide” yang pada suatu ketika dulu, mereka sendiri gunakan terhadap lawan politik mereka.

Menjadi sebahagian daripada pemerintahan paling teruk yang pernah disaksikan oleh negara ini, juga berada jauh daripada tampuk kuasa, ketika demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan digantung, dengan Presiden dan panglima perang utamanya yang sama ada pasti akan menghadapi sabitan jenayah atau telah habis dilelong kepada pengkhianat, UMNO benar-benar dikepung oleh semua pihak di tengah-tengah rentetan cabaran yang belum pernah disaksikannya sebelum ini.

UMNO kini sedang dimamah dari dalam dan dari luar. Parti yang mereka anggap sebagai rakan kongsi sedang menghenyak UMNO hingga berkecai, parti yang telah menjadi sekutu UMNO selama 6 dekad kini meninggalkan UMNO terkapai-kapai, dan mereka yang telah difatwakan kepada ahli dan penyokongnya agar dilayan sebagai seteru mutlak kini tiada pilihan selain dari terus memberikan balasan yang setimpal.

Pada waktu dan saat ini, UMNO sedang menghadapi saat-saat paling gelap dalam sejarahnya. UMNO bakal merasakan pengkhianatan yang telah dialami oleh Pakatan HARAPAN, namun, perbezaannya, besa kemungkinan pengkhianatan kali ini akan berakhir dengan hilangnya UMNO dari peta politik kita.

Sememangnya UMNO tidak berhak atau layak untuk mendapat simpati dari mana mana pihak. Merekalah yang memilih untuk bersekongkol dengan yang punya sejarah mengkhianati orang, dan bakal mengkhianati mereka. Tetapi, pertama kali saya dapat menyatakan bahawa saya berempati dengan mereka.

Howard Lee merupakan ADUN Pasir Pinji merangkap Ketua DAPSY Kebangsaan

 

No comments: