BETUL BETUL KA BOHONG BOHONG NI ...Kerajaan jamin Parlimen bersidang secepat mungkin, kata Takiyuddin

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan, berkata semua pihak termasuk pembangkang boleh menyalurkan pandangan melalui saluran ditetapkan, seperti Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal berkaitan penguatkuasaan perintah itu.

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan sidang Parlimen akan segera dipanggil pada masa sesuai, sama ada sebelum atau selepas perintah darurat tamat pada 1 Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, bagaimanapun berkata perkara itu bergantung pada nasihat dan pandangan pakar, termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Takiyuddin berkata, semua pihak, termasuk pembangkang boleh menyalurkan pandangan kepada kerajaan melalui saluran ditetapkan, seperti melalui Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang ditubuhkan bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal berkaitan penguatkuasaan perintah itu.

“Dalam masa sama, tidaklah wajar wujud kesangsian atau syak wasangka berlakunya salah guna kuasa kerana sistem kerajaan berfungsi seperti biasa, termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh agensi penguat kuasa, terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Justeru semua pihak diseru supaya memberikan sepenuh kerjasama kepada kerajaan dalam usaha memastikan kelangsungan hidup rakyat dalam aspek-aspek kesihatan, ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Parlimen dijadual digantung selama enam bulan 20 hari hingga 1 Ogos susulan perisytiharan darurat pada 12 Jan.

Media semalam melaporkan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan untuk mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan supaya menyambung semula sidang Parlimen.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata keputusan itu selaras kenyataan Agong sebelum ini bahawa Parlimen boleh bersidang dalam tempoh darurat.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kerajaan amat menyedari tanggungjawab keperlembagaan dalam memastikan penerusan proses demokrasi di negara ini terjamin melalui sidang Parlimen.

Takiyuddin berkata, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah usaha memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya, termasuklah melindungi Ahli Parlimen, pegawai dan semua pihak yang berurusan dengan Parlimen.

“Kerajaan mengambil maklum gesaan beberapa pihak, termasuk parti politik supaya Parlimen dipanggil bersidang walaupun negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.

“Dalam hal ini kerajaan ingin menarik perhatian semua pihak bahawa langkah pengawalan dan pencegahan wabak berbahaya ini masih berterusan dengan seluruh jentera kerajaan memberi fokus terhadap tindakan imunisasi, rawatan, pengasingan dan juga pelan vaksinasi yang berterusan.

“Di samping itu pihak penguatkuasa, terutama polis, tentera, imigresen, RELA dan lain-lain masih bertungkus lumus menjaga perbatasan negara daripada dibolosi pendatang asing yang turut membawa risiko penularan Covid-19 dari negara luar,” katanya.


No comments: