POSTED BY AMIR WRLR
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang mungkin diadakan pada
suku ketiga tahun ini mantan Presiden ABIM, Prof Dr Razali Nawawi mengingatkan
rakyat Malaysia agar bersatu hati mengalahkan pengkhianat dalam rejim Perikatan
Nasional, di mana pun mereka akan bertanding.
Katanya, para pengkhianat adalah punca kepada masalah poltik yang berlarutan di negara ini dan tidak boleh diberi peluang untuk memerintah sekali lagi selepas PRU 15.
"Rakyat jelata saya yakin kenal semua pengkhianat-pengkhianat. Dulu mereka pengkhianati Pakatan Harapan (PH), sekarang mereka berusaha mengkhianati Umno pula.
"Juga mereka sedang berusaha mengkhianati harapan golongan 18 tahun. Orang berumur 18 ghairah menunggu hari mengundi. Apa pengkhianat ini buat? Mereka meyakinkan pihak tertentu jangan mendaftar golongan 18 tahun supaya mereka tidak mengundi.
"Jadi pengkhianatan demi pengkhianatan. Saya yakin pengundi khususnya dan rakyat Malaysia umumnya cerdik menilai siapa pengkhianat-pengkhianat. Jangan mengundi pengkhianat.
"Pengkhianat ini akan bertanding. Mereka akan menjadi seperti sesumpah boleh berubah warna. Pergi ke kawasan lain. Kalau tak biasa pakai kopiah, pakai kopiah. Berubah warna. Jangan tertipu oleh pengkhianat. Sekarang giliran kita untuk melanyak para pengkhianat habis-habisan di mana sahaja mereka pergi.
"Mereka bertanding di ulu langit, lanyak mereka. Mereka bertanding di Gunung Himalaya lanyak mereka. Jangan bagi peluang," katanya dalam forum anjuran Gabungan Reformis Malaysia bertajuk "Reformasi: Antara Pengkhianatan dan Harapan", baru-baru ini.
Menurut Ustaz Razali lagi, rakyat perlu membuat perbandingan secara akademik antara 22 bulan pemerintahan PH berbanding setahun pemerintahan PN dan jangan bersikap semberono memilih parti dalam PRU.
"Kita telah melihat kejayaan PH selama 20 bulan. Sekarang pula melihat pemerintahan rejim politik korup selama setahun. Apa perubahan yang dibuat oleh rejim politik korup sekarang ini? Jadi boleh nilai secara akademik antarta PH dan PN.
"Beri penilaian yang betul dalam PRU akan datang ini. Tarik kuasa dan beri kepada politik yang mempunyai maruah. Itu saya rasa harapan munasabah. Rakyat Malaysia mesti sama-sama berusaha keluar dari bencana malapetaka politik yang sedang melanda negara sekarang ini," katanya lagi.
Dr Razali Nawawi merupakan Presiden kedua ABIM dan teman rapat Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama.