Ridauddin Daud
April 4, 2021 02:31 MYT
Hidup mungkin tidak semewah orang lain namun ia bukan penghalang buat anak muda ini mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan di universiti. - Astro AWANI
PETALING JAYA: Hidupnya mungkin tidak mewah namun dia tidak mudah mengalah. Tekadnya tidak pernah rebah, hatinya berterusan tabah.
Impiannya, mahu lihat nasib keluarga berubah, mahu bawa semuanya berhijrah, mencari kehidupan lebih bahagia dan indah.
Bertunjangkan ilmu, dia harap semuanya akan dipermudah.
Umurnya baru 21 tahun namun tangungjawab kepada keluarga sudah terserlah dalam jiwa anak muda yang tinggal di PPR Lembah Subang, Petaling Jaya ini.
Kini menyambung pengajian dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Afig Iskandar Adrel perlu membahagikan masa sebaik-baiknya.
Lazimnya, pada sebelah siang dia membantu ibunya menghantar makanan dan bekerja sambilan. Malam pula, bersengkang mata mengulang kaji pelajaran. Begitulah rutinnya saban hari.
Namun, itu tidak menghalangnya mendapat keputusan cemerlang CGPA 3.91 baru-baru ini. Khabar itu lantas menaikkan semangatnya untuk terus berjaya, dan berharap dapat menyediakan kehidupan lebih baik buat keluarganya kelak.
“Kalau boleh, kalau dimurahkan rezeki, saya nak cubalah dapatkan rumah teres bagi mereka selesa. Buat masa habis ijazah, dua tahun, saya nak beri mereka selesa semua, barulah ke arah kahwin semua itulah.
“Janji dapat keluarkan mereka daripada sini. Dari dulu di sini, ada masalah parking, masalah sampah, gaduh kaum, lif rosak, air tiada,” katanya kepada Astro AWANI.
Siang bekerja, malam pula belajar, bukan mudah buatnya. Namun dia yang mesra disapa Afig itu mengakui sudah terbiasa.
Walaupun penat, dia biarkan sahaja dan tidak 'melayannya' kerana dia ada impian tersendiri yang mahu dilaksana.
“Untuk tolong mama semua ini. Tidaklah berat bagi saya sebab dari kecil dulu, mama dah bagi duit semua, sampai tuisyen semua... jadi saya tak fikir sangat fasal kerja.
“Bila dah mula kerja, ada juga rasa penat bekerja. Setiap minggu saya kena update jadual pada penyelia, hari apa kerja, hari apa yang tidak kerja.
“Ada satu minggu itu, dia tak kisah saya masuk pukul berapa, janji kerja. Habis kerja pun tak kisah tapi bila dah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) semua, kena ikut jadual,” ujarnya.
Kasih sayang ibu
Bagi ibunya, Salbiah Yahya Basra, sejak dari anak-anaknya kecil dia selalu memastikan kasih sayang dan pendidikan diberikan sebaiknya. Tidak langsung berkira walaupun mereka bukan orang berada.
Salbiah mengakui banyak kali dia menangis namun bukan kerana Afig 'buat hal', tapi kerana dia anak yang baik, sentiasa mengutamakan keluarga.
“Pasal tuisyen, kalau buku, kalau di sekolah apa yang cikgu nak, saya tak pernah abaikan.
"Tak beli barang kemas pun tidak mengapa, yang penting untuk anak. Barang kemas boleh beli bila-bila. Ilmu ini tidak boleh dipandang ringan. Alhamdulillah saya menangis bukan kerana dia buat hal,” katanya.
Bukan mudah untuk berjaya, banyak yang perlu dikorbankan namun bagi Afig, dia akan buktikan bahawa dia boleh berjaya.
“Along janji akan buktikan walaupun kita duduk di kawasan kurang berkemampuan, PPR Lembah Subang, saya nak buktikan dekat semua orang lagi-lagi kepada kawan, kepada kawan Mama dan Papa, kita walaupun ini (kurang berkemampuan), kita boleh berjaya juga,” ujarnya.
Kecekalan, ketabahan anak muda itu membuatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Briged Negaraku mengangkatnya sebagai Ikon Briged Negaraku kerana memberi inspirasi kepada orang lain.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, motivasi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !