Trend wanita melacur untuk dapat dadah di Kedah membimbangkan

 


Trend wanita melacur untuk dapat dadah di Kedah membimbangkan


Pelacuran dalam kalangan penagih wanita sehingga melahirkan anak tidak sah taraf di daerah ini semakin membimbangkan.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Daerah Kota Setar, Dr. Zaki Zamani Abd. Rashid berkata, pihaknya mengendalikan lebih 30 kes tersebut setakat ini membabitkan wanita berusia 20-an dan 30-an.

Menurutnya, wanita yang terlibatkan dengan kes tersebut adalaj dalam kalangan ibu tunggal remaja dan suri rumah.

“Trend ini membimbangkan kerana semakin lama semakin banyak kes yang dilaporkan. Wanita-wanita ini menawarkan seks semata-mata untuk mendapatkan dadah daripada tokan mereka.

“Komplikasi lebih besar adalah nasib anak tidak sah taraf itu apabila dilahirkan terpaksa dipisahkan daripada ibu mereka yang kemudian harus ditempatkan di pusat pemulihan,” katanya di sini hari ini.

Beliau tidak menafikan kes berkenaan banyak berlaku di sekitar Kuala Kedah, Gunung Keriang, Tongkang Yard dan pusat bandar raya ini.

“Apabila saya turun padang untuk bertemu dengan wanita-wanita ini, mereka dalam keadaan menyedihkan kerana tengah ‘lalok’ (ketagihan) dan sarat mengandung,” katanya yang juga merupakan Penasihat Mahkamah Bagi Kanak-kanak Alor Setar.

Tambah beliau, pendekatan kondusif diperlukan untuk menangani trend berkenaan yang dikhuatiri menyumbang lebih banyak masalah sosial dalam kalangan remaja.

“Satu pusat perlindungan perlu diwujudkan di negeri ini yang memberi perlindungan dan pemulihan kepada wanita-wanita yang terjebak dengan kes seperti ini.

“Sukar untuk memisahkan seorang ibu dan bayinya yang baru dilahirkan. Kita berharap naluri keibuan itu juga akan membolehkan mereka berubah,” terangnya.

Jelasnya, penubuhan pusat berkenaan boleh direalisasikan dengan pembabitan badan bukan kerajaan (NGO) dengan bantuan agensi berkenaan.  – Utusan