Pasca Pengkhianatan: Kita Harus Bangkit Semula

 

POSTED BY AMIR WRLR




Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad


Sejak beberapa minggu lepas, penyakit ahli Parlimen yang membelot melanda lagi. Kali ini tiga ahli Parlimen KEADILAN dijangkiti wabak ini.

Bagi ahli dan pendukung parti, insiden ini pasti akan mengecewakan dan menimbulkan kemarahan.

Mereka yang yang khianat kepada parti telah diberikan peluang sepenuhnya oleh KEADILAN. Ada di antara mereka pernah dilantik ke jawatan tinggi dalam kerajaan.

Mereka akan mencipta pelbagai alasan untuk tindakan mereka - tetapi rakyat tidak bodoh dan mampu membuat keputusan yang betul ketika pilihan raya akan datang.

Saya akan kekal bersama KEADILAN. Saya sudah mula bersama parti ini sejak dua dekad lepas, ketika saya berusia 19 tahun ekoran peristiwa Reformasi dan menyertai parti itu secara rasmi empat tahun kemudian.

Parti yang benar-benar berbilang kaum, nasional dan reformis yang komited terhadap keadilan sosial akan sentiasa relevan di Malaysia.

KEADILAN sebuah khemah besar

KEADILAN sangat pelbagai. Ini adalah parti berbilang kaum yang paling berjaya di Malaysia. Jalan menuju kejayaan kita adalah dengan menjadikan parti ini sebagai khemah besar yang inklusif dan merangkumi pelbagai aliran pemikiran dan sosok individu.

Kami kini mempunyai 1,037,888 ahli dengan cabang wujud di kesemua 222 kawasan Parlimen di negara kita. Pada tahun 2018, angka ini berjumlah 800,000. Parti ini juga mempunyai 1,592 ranting (cawangan).

Ini menjadikan KEADILAN parti ke-3 terbesar di Malaysia, setelah 3 juta ahli Umno dan 1.5 juta Pas.

Golongan liberal, sosial demokrat, aktivis agama dan nasionalis dari semua kaum dan agama bersama berganding bahu. Perbincangan boleh menjadi sangat tegang - kerana KEADILAN hanya sebilangan kecil parti politik di negara ini yang benar-benar mewakili keseluruhan kepelbagaian Malaysia.

Terdapat anggota yang hanya memilih untuk turun ketika pilihan raya, yang bermaksud untuk memastikan kemenangan parti, sebelum meluangkan lima tahun akan datang untuk memberi tumpuan kepada kehidupan mereka.

Terdapat mereka yang hadir bagi setiap acara atau program dengan segera dan mengambil bahagian secara aktif dalam organisasi parti di peringkat pusat, negeri, cabang dan ranting.

Ada ‘otai’ yang terlibat semasa era Reformasi, golongan professional yang bersama ketika siri demonstrasi Bersih dan anak muda yang masuk setelah ‘Langkah Sheraton’.

Seperti organisasi yang lain, ada pelbagai jenis motivasi dan tahap tenaga.

KEADILAN pernah berada pada situasi ini. Kami telah dilanda pembelotan besar-besaran pada tahap yang tertinggi dalam sejarah kami.

Di sebalik pelbagai dugaan dan keraguan, kami tetap bangkit lebih kuat dari sebelumnya.

Secara jujurnya, pembelotan adalah masalah di seluruh spektrum politik Malaysia.

Semua pihak menjadi mangsa. Semua parti politik di Malaysia kehilangan ahli, wakil rakyat, dan pemimpin kerana norma baharu politik ini.

Ramai Ahli Parlimen KEADILAN telah memberi amaran agar Bersatu tidak menerima Ahli Parlimen yang berpaling tadah dari Umno pada 2018-2019.



Piawai yang lebih tinggi



Sudah tentu, orang akan mengatakan bahawa KEADILAN harus berpegang pada piawai yang lebih tinggi. Saya setuju. Seperti yang saya tulis sebelumnya, pertengkaran dan pembelotan berterusan akan membuatkan pengundi muak dan bosan.

Setiap wakil rakyat yang meninggalkan kami akan mencalarkan imej parti.

Ini adalah pengkhianatan terhadap mandat rakyat yang tidak dapat dimaafkan dan kita harus melakukan yang terbaik untuk mendapatkan kembali kerusi ini dalam pilihan raya akan datang.

Cuma, kita memerlukan disiplin yang lebih tinggi. Tiba masanya untuk bekerja keras dan bersama-sama merasai perit jerih rakyat.

Terdapat cabaran dan krisis dalam semua parti politik - tetapi kita tidak boleh mengharapkan rakyat biasa untuk terus mengikuti drama kita.

KEADILAN harus perkukuhkan komitmen terhadap agenda Reformasi. Kita adalah parti yang inginkan Malaysia yang lebih adil untuk semua rakyatnya dan sistem ekonomi yang lebih peduli kepada rakyat biasa tanpa mengira kaum.

Anggota yang lebih berminat untuk mendapatkan jawatan atau memajukan agenda peribadi harus meninggalkan parti.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, calon-calon termasuk saya diikat dengan perjanjian dengan parti. Kes mahkamah terhadap pengkhianat-pengkhianat ini sudah bermula di mahkamah.

Pada masa yang sama terdapat cadangan supaya undang-undang anti-lompat parti diperkenalkan - walaupun undang-undang seperti ini di Pulau Pinang belum diuji di mahkamah.

Idea lain adalah untuk memaksa Ahli Parlimen atau ADUN yang ingin meninggalkan parti mereka untuk menjalani pilihan raya kecil, walaupun ini memerlukan pindaan kepada Artikel 48 (6) Perlembagaan Persekutuan yang melucutkan kelayakan seorang MP yang mengundurkan diri dari bertanding selama lima tahun.

Bagaimanapun, kita akan memerlukan sokongan rakyat untuk memastikan pembaharuan ini dilaksanakan.

Dan ini tidak akan berlaku sekiranya kita tidak berdisiplin dan bersatu.

Masanya telah tiba untuk kita terus bergerak ke hadapan.

_________________________________________________________________________________



NIK NAZMI NIK AHMAD adalah Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Parlimen Setiawangsa. Antara buku tulisannya termasuklah Mendepani Zaman: Melayu Abad ke-21 dan 9 Mei 2018: Catatan dari Garis Depan.

 

No comments: