Vaksin Covid-19 buatan Vietnam dijangka siap suku ke-4

 

Vietnam bergantung kepada vaksin AstraZeneca setakat ini sejak pelancaran vaksinasi minggu lalu. (Gambar AP)

HANOI: Vaksin pertama Covid-19 yang dikeluarkan Vietnam sendiri, Nanocovax, dijangka siap pada suku keempat tahun ini dan mula digunakan tahun depan, kata Kementerian Kesihatan.

Pengumuman itu dibuat ketika lebih banyak negara berusaha mempercepatkan pembangunan vaksin sendiri disebabkan bekalan global yang terhad dan kebimbangan terhadap kemunculan varian baru virus.

“Pembendungan pandemik sebahagian besarnya bergantung kepada pembangunan vaksin,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

Katanya, empat syarikat Vietnam terbabit dalam penyelidikan dan pengeluaran vaksin itu, dengan dua daripadanya melakukan ujian ke atas manusia, termasuk terhadap vaksin Nanocovax serta Covivac.

Setakat ini, Vietnam bergantung kepada vaksin AstraZeneca dan sejak pelancaran vaksinasi pada 8 Mac lalu, lebih 20,000 orang sudah divaksin.

Pegawai Kementerian Kesihatan semalam berkata, tiada rancangan untuk menghentikan penggunaannya selepas sesetengah negara Eropah menggantung penggunaannya kerana laporan pembekuan darah.

Semalam, Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long berkata 1.3 juta dos AstraZeneca akan tiba di negara itu menjelang akhir bulan ini dan diagihkan ke seluruh negara.

Katanya, Vietnam sedang berunding untuk membeli vaksin daripada Pfizer-BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson serta Sputnik V yang dihasilkan Rusia, serta ia mungkin mencapai perjanjian untuk mendapatkan 30 juta dos vaksin Pfizer tahun ini.

Kerajaan sebelum ini berkata, ia akan mendapatkan 150 juta dos vaksin secara keseluruhan, termasuk melalui pembelian terus daripada pengeluar dan skim perkongsian vaksin global, Covax.

Vietnam dipuji di peringkat global berdasarkan kejayaannya dalam membendung penularan virus itu tahun lalu melalui pengesanan kontak, ujian saringan besar-besaran dan kuarantin ketat, walaupun ia menghadapi lonjakan kes semula baru-baru ini.

Negara itu mencatatkan 2,560 kes Covid-19, dengan kira-kira 60% kes ialah penularan tempatan dan hanya melaporkan 35 kematian sehingga kini.



No comments: