ADAKAH SESIAPA YANG SANGGUP BUAT LEBIH BAIK DARIPADA ANWAR?

 

1.Adakah Anwar Ibrahim bergerak sendiri berunding tidak rasmi dengan pemimpin UMNO sekarang?

Anggapan itu tidak benar. Anwar Ibrahim sebenarnya mendapat mandat dari Presiden Amanah, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk berunding dengan mana-mana pihak untuk mendapatkan balik mandat rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) seperti yang diperolehinya dalam Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

2.Adakah Anwar Ibrahim begitu taksub untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia?

Tohmahan seperti itu tidak betul dan amat menghina. Anwar Ibrahim menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi PH seperti mandat yang diberi oleh pimpinan PH yang lain.

Adakah pemimpin PH yang lain sejuk kaki sekarang ini dan ingin menafikan fakta ini?

3.Adakah Anwar Ibrahim lebih mengutamakan mendekati pemimpin UMNO daripada pemimpin Blok Pembangkang yang lain seperti dari Warisan, Pejuang dan MUDA?

Anggapan seperti ini tidak betul sama sekali. Anwar Ibrahim menurut rekod telah beberapa kali bertemu dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Afdal di rumah Datuk Seri Shafie Afdal, bukan di tempat yang neutral untuk bincang hal negara dan kerjasama PH dengan parti-parti pembangkang yang lain.

Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH dan Ketua Pembangkang yang rasmi di Parlimen sanggup mengalah dan merendahkan dirinya ke rumah Datuk Seri Shafie Afdal. Bukan sekali, tetapi dua kali.

Masihkah sesiapa ingin menyatakan Anwar tidak menghiraukan parti-parti pembangkang?

4.Adakah Anwar Ibrahim tak sabar-sabar untuk ambil alih kerajaan dari Perikatan Nasional? Kenapa tidak tunggu sehingga PRU-15 sampai?

Tidak betul jika menuduh Anwar Ibrahim tak sabar-sabar.Seperti kata Martin Luther King, Jr : “The time is always right to do what is right”. Ada bezanya menghadapi PRU15 jika PH yang jadi kerajaan berbanding jika Muhyiddin dan PN yang jadi kerajaan. Pemimpin-pemimpin di Blok Pembangkang yang mengkritik Anwar Ibrahim tentu tidak naif dalam soal ini.

5.Betulkah anggapan bahawa Anwar Ibrahim tidak berprinsip dalam mengadakan rundingan kerjasama dengan para pemimpin UMNO?

Anggapan dan tohmahan melulu itu tidak betul. Setakat ini, belum ada persetujuan kerjasama dengan UMNO. Perundingan ada, tetapi setakat ini, sekadar perbincangan tidak rasmi. Ini diakui sendiri oleh Anwar Ibrahim.

Kalau dulu Anwar Ibrahim boleh berunding dengan Dr Mahathir Mohamad yang dituduh diktator, memusnahkan institusi-instutusi demokrasi negara dan menjalankan pemerintahan secara kuku besi dan mengamalkan dasar ekonomi secara kronisme kepada anak-anak sendiri dan kroni-kroni sendiri, tetapi kenapa kini Anwar dipandang serong apabila berbincang dengan pemimpin UMNO?

Dari segi sejarah, Presiden Roseevelt Amerika Syarikat dan Winston Churchill Perdana Menteri Great Britain pernah berunding dan berpakat dengan Joseph Stalin Pemimpin Soviet Union yang kuku besi dan komunis itu untuk melawan Nazi Jerman dibawah pimpinan Aldof Hitler.

6.Adakah Anwar Ibrahim pergi berbincang dan berunding dengan pemimpin UMNO itu secara sembang kosong dan santai-santai?

Kalau ada anggapan sedemikian, tolong perbetulkan. Anwar telah mendapat mandat dari partinya sendiri Parti Keadilan Rakyat supaya mengketengahkan agenda reformasi apabila berunding dengan pemimpin-pemimpin UMNO seperti isu pentadbiran kerajaan yang baik (good governance), kebebasan kehakiman, memulihkan ekonomi dan memacu pertumbuhan; ditekankan lagi tidak ada campur tangan urusan mahkamah khususnya dalam kes-kes berprofil tinggi yang sedang dibicarakan dan banyak lagi reform terhadap agensi penting negara seperti PDRM, SPRM.

Anwar Ibrahim juga sebagai Ketua Pembangkang membawa agenda supaya Parlimen Malaysia diselamatkan dan penggantunggannya sekarang ini ditamatkan.

Adakah Anwar Ibrahim tidak boleh bincaang hal-hal sepenting ini dengan para pemimpin UMNO?

7.Apakah track record Anwar Ibrahim dalam membina kerjasama politik dari pelbagai aliran, pelbagai fahaman dan pelbagai ideologi demi keepentingan rakyat dan negara?

Ini faktanya, ada empat. Pertama, Anwar Ibrahim dari dalam penjara, berjaya membina kerjasama Barisan Alternatif menentang Mahathir Mohamad dan UMNO/BN pada tahun 1999. Beliau berjaya mengwujudkan penyatuan Parti Keadilan Nasional (PKN), PAS, DAP dan PRM.

Kedua, Anwar Ibrahim, ketika itu masih dari dalam penjara, berjaya membawa Parti Rakyat Malaysia (PRM) bergabung dengan PKN menjadi satu entiti politik pelbagai kaum yang baru yang diberi nama Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang logonya menjadi logo bersama dalam PRU14 sehingga Kerajaan BN pimpinan Najib Razak tumbang.

Ketiga,Pada tahun 2008 Anwar Ibrahim sudah keluar penjara, kali ini beliau berjaya membentuk Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Keadilan, PAS dan DAP dan menang besar dalam Pilihanraya Umum. Lima negeri pimpinan Umno/BN tumbang dalam PRU tahun 2008 itu.

Keempat, apabila Anwar Ibrahim merengkok sekali lagi dalam penjara, Pakatan Rakyat pecah. PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Tetapi dari PAS muncul Parti Amanah Negara (Amanah).

Dari dalam penjara, Anwar Ibrahim membina semula gabungan baru tiga parti yang bernama Pakatan Harapan yang terdiri daripada Keadilan, DAP dan Amanah dengan Anwar dilantik sebagai Ketua Umum PH, gabungan tiga parti itu.

Apabila Mahathir Mohamad memanjat tangga Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa kali untuk bertemu dengan Anwar Ibrahim untuk berjabat tangan tanda Mahathir dan Anwar bekerjsama, maka Anwar Ibrahim sanggup memaafkan hal yang sudah-sudah dan sanggup bergabung dengan Mahathir Mohamad untuk menghadapi Najib dan BN dalam PRU14 pada tahun 2018.

Anwar Ibrahim bersetuju Parti Besatu (PPBM) yang masih belum diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan menjadi komponen keempat Pakatan Harapan. Anwar Ibrahim yang masih berada di dalam penjara ketika itu adalah arkitek sebenar kejayaan Pakatan Harapan dalam PRU-14.

8. Jadi kali ini, apabila Anwar Ibrahim berunding dengan berhati-hati sejak mula, secara tak rasmi, janganlah pihak-pihak lain cepat menuduh Presiden Keadilan itu taksub sangat untuk jadi Perdana Menteri Malaysia.

Tidak perlulah diberitahu bahawa Anwar lakukan itu semua untuk selamatkan negara dan selamatkan rakyat. Inilah tekadnya selama ini dengan pendirian kental dan cekalnya: “membujur lalu; melintang patah”. Kerana pendirian seperti inilah Anwar Ibrahim keluar masuk penjara.

Jika ada sesiapa yang sanggup buat lebih baik daripada Anwar Ibrahim, maka penulis berkata: “Silakanlah…”

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

18 Mac 2021 (Khamis).