Pro
dan kontra kerjasama politik antara KEADILAN / Pakatan Harapan (PH) dan Umno
disensasikan oleh media arus perdana yang menimbulkan kritikan daripada
sebilangan penyokong akar umbi, terutama berkenaan rekod buruk Umno yang tidak
harus dijadikan rakan politik.
Bagi
Setiausaha Pengelola KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, hubungan dengan parti
pesaing sejak 1998 itu belum sampai ke peringkat kerjasama.
Bagaimanapun,
beliau tidak menolak usaha ke arah itu kerana pada peringkat kerajaan, Umno
telah pun bekerjasama dengan PH dalam pembentukan legislatif di Johor.
"(Soal
kerjasama) boleh dibincang, bukan kita kata sudah pasti kerjasama, bukan ada
persefahaman, belum ada. Memang wujud kebimbangan.
"Kita
tidak mahu menghakis nilai-nilai yang kita bina sebagai KEADILAN. Kita juga
mahu mempertahankan PH. Pada masa sama kita juga kena menerima hakikat bahawa
konsep kerjasama parti tidak sama seperti dahulu
"Dulu
kita lihat parti Perikatan; Umno, MIC, MCA dari awal letak satu calon
bertanding dan kemudian mereka terus kerjasama lepas pilihan raya. Di peringkat
kita, kita pernah ada Angkatan Perpaduan Umah, Gagasan Rakyat, Barisan
Alternatif, Pakatan Rakyat dan PH.
"Tetapi
adakah itu satu-satunya model? Di Jerman mereka bertanding semua (parti). Ada
Green Social Party ada Christian Democrat. Tetapi selepas pilihan raya jika tak
cukup bilang mereka akan cari kawan untuk membentuk kerajaan.
"Misalnya
kita lihat (kerajaan) Johor (legislatif), Menteri Besar (MB) Umno, Speaker
Amanah, Timbalan Speaker DAP. Di Perak dalam kemelut selepas jatuhnya MB
Bersatu, timbul cadangan untuk DAP bersedia sekiranya perlu kerjasama dengan
Umno.
"Bagi
saya itu bukan suatu yang mustahil malah menjadi trend politik negara, kita
bergerak ke arah itu," katanya dalam wawancara bersama The Malaysian
Insight, semalam.
Bagaimanapun,
Ahli Parlimen Setiawangsa itu memberi jaminan sekiranya hubungan lebih serius
dianjurkan bersama Umno prinsip utama perjuangan Reformasi tidak akan
dikompromi.
"Dalam
isu rasuah, dalam isu salah guna kuasa, perkara-perkara itu tidak boleh ditolak
ansur, KEADILAN juga berpegang kepada Perlembagaan mengenai agama Islam,
kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah Sarawak, Raja-raja Melayu dan
sebagainya. Tetapi kita juga menekankan kepentingan masyarakat lain. Rakyat
Malaysia (kaum) lain sebagimana termaktub dalam Perlembagaan," katanya .
Mengulas
mengenai struktur PH yang belum ampuh sebagaimana persediaan gabungan itu
ketika melawan BN pada pilihan raya umum (PRU) 14 lalu dengan menetapkan calon
PM, Tun Mahathir dan Timbalan PM Datuk Seri Dr Wan Azizah empat bulan sebelum
PRU, Nik Nazmi berkata isu tersebut masih diperhalusi. Malah PH juga katanya,
tidak membuat kabinet bayangan kerana beberapa perkara yang belum diselesaikan.
"Sebab
itu saya dan beberapam pimpinan lain, kami yakinkan Presiden Datuk Seri Anwar,
di peringkat Parlimen kita ada jurucakap (bagi membayangi kementerian
pemerintah)
"Satu
lagi (kabinet bayangan) cara pembentukannya tidak disepakati. Kita mahu fokus supaya
ia efektif. Tidak guna ada kabinet bayangan tetapi tidak berfungsi.
"Di
United Kingdom sistem shadow cabinet mereka ada peruntukan dipanggil Short
Money, ia diberi khusus kerana parti pembangkang tidak ada akses yang sama
kepada penjawat awam. Pembangkang ada peruntukan untuk penyelidik, penggubal
dasar tetapi tidak ada di sini," katanya lagi.
Ura-ura
pembentukan kerjasama antara KEADILAN/PH dan Umno menjadi tajuk utama media
sejak wawancara akhbar Utusan Malaysia bersama Datuk Seri Anwar beberapa hari
lalu, yang dianggap sebagai tindakbalas KEADILAN kepada 'pembelian' beberapa
Ahli Parlimen parti itu menyertai kerajaan memerintah.
Namun
dalam penjelasan Pengerusi PH pada 16 Mac lalu, penerokaan hubungan tersebut
masih di peringkat awal dan belum ada sebarang kata putus dibuat.