PN tidak selesaikan masalah rakyat, mengapa PH dipersalahkan?

 


Propaganda peringkat akar umbi penyokong Umno yang masih menamakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai Pakatan Harapan (PH) amat mengelirukan rakyat terutama di luar bandar.



Menggunakan sebahagian pimpinan PN dari Bersatu sebagai momokan, kononnya kerajaan masih dikuasai PH, propaganda seperti itu menipu orang kampung yang tidak sedar kerajaan telah pun bertukar pada Mac 2020 lalu.



Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, Umno dan Pas perlu berlaku jujur mengenai kelemahan PN.



Katanya, sekiranya PN lemah maka jentera penerangan mereka tidak perlu mengaitkan kelemahan tersebut ke atas kerajaan PH yang memerintah selama 22 bulan.



"Sepatutnya apa yang diluahkan itu (kelemahan) mendatangkan kekesalan (ke atas mereka sendiri), dan terbukti bahawa kombinasi di antara Pas, Bersatu dan BN sebenarnya tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat," katanya ketika dihubungi.



Namun, Azan kesal ketidak berkesanan menteri-menteri Umno dan Pas cuba disembunyikan dengan licik dan penerangan di peringkat bawah menunding kepada bobroknya menteri-menteri Bersatu yang sebelum ini berasal dari kerajaan PH.



Sedangkan, kata Azan, PH telah mencuba sedaya upaya ketika memerintah untuk menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke 14.



Katanya, pelbagai perubahan seperti memansuhkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sekiranya masih berkuatkuasa akan menyebabkan harga barang melambung pada hari ini, juga mewujudkan beberapa skim membantu golongan B40 seperti i-Suri, Peka40 dan lain-lain cuba ditutup rapat oleh propaganda pemerintah.



"Apabila PH mengambil alih, segala isu berkaitan rakyat seperti GST, harga barang, kos sara hidup (pembaikannya) dalam peringkat perlaksanaan pada tahun kedua pemerintahan, tetapi Umno BN, Pas dan PN terus merompak kuasa yang diambil secara pintu belakang.



"Segala perancangan untuk menstruktur semula ekonomi rakyat yang dicadangkan sebelum ini tergendala.



"Jadi bagaimana hendak dilaksanakan sedangkan mereka (PN) telah merompak dan menubuhkan kerajaan pintu belakang secara tidak demokratik dan mengikut undang-undang," katanya lagi.



Sehubungan itu, Azan menyeru agar jentera propaganda akar umbi Umno juga Pas lebih jujur dan mengakui kekurangan kerajaan PN.



Katanya, dalam keadaan pandemik Covid 19 adalah lebih baik digembeleng usaha bersama kerajaan dan pembangkang memulihkan ekonomi rakyat, daripada bermain politik dan propaganda murahan yang mengelirukan serta tidak menguntungkan sesiapa.

 

No comments: