'Masa untuk KEADILAN Sarawak kembali bersatu'




POSTED BY AMIR WRLR


Pemergian Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Larry Sng menyertai Perikatan Nasional adalah masa yang sesuai untuk kembali mengukuhkan parti.

Menurut Ketua Penerangan KEADILAN negeri, Abun Sui Anyit, pemergian Larry mungkin boleh merintis jalan kepada penyokong-penyokong yang tidak senang dengan beliau untuk bergabung dan merapatkan kembali barisan.

"Untuk penyokong yang kemungkinan terhalang atau tidak senang kehadiran beliau selama ini, maka jangan ada alasan lagi untuk tidak menyertai KEADILAN.

"Kerana ada yang terhalang, kononnya Larry ada kami tidak mahu menyokong KEADILAN. Jadi inilah masanya penyokong membuktikan kenyataan yang sedemikian," katanya dalam siaran langsung Facebook malam tadi.

Mengulas mengenai kononnya MPN Sarawak terbubar sebaik sahaja Larry berkhianat, Abun yang juga pengamal undang-undang berkata, hal seperti itu tidak terdapat di dalam perlembagaan parti.

Katanya, KEADILAN Sarawak akan berjalan seperti biasa sehingga pengerusi baharu dilantik.

"Untuk keadaan ini perlembagaan parti tidak menyatakan ia terbubar kerana sebenarnya ketua-ketua Cabang masih ada mengendalikan parti di peringkat negeri.

"Apabila pengerusi baru dilantik dia boleh meneruskan. Kalau dia bersetuju mengekalkan pemimpin sedia maka ada dia boleh melakukan itu. Kalau ambil yang baru pun boleh," katanya lagi.

Dalam pada itu, Abun turut menjelaskan khabar angin kononnya beliau mengeluarkan kenyataan perlantikan pengerusi MPN baharu pada petang semalam.

Katanya kenyataan tersebut adalah palsu. Hanya Presiden KEADILAN selepas bertemu ketua-ketua Cabang boleh melantik pengerusi yang baharu dan perlantikan itu akan melalui proses biasa yang ditetapkan.