Vaksin: MB Perak bagi jaminan tiada isu ‘potong Q’ seperti yang tular berlaku di Kelantan

 


Vaksin: MB Perak bagi jaminan tiada isu ‘potong Q’ seperti yang tular berlaku di Kelantan

Dua menteri besar memberi jaminan tiada isu “potong barisan” atau dwistandard dalam pemberian vaksin.

Di IPOH, Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata pemberian vaksin bagi Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengikut senarai yang ditetapkan kerajaan bagi negerinya.

Katanya, yang menerima vaksinnya hari ini, seramai 221 individu dijadualkan hari ini termasuk 10 anggota exconya.

“Jangan runsing apa-apa, ikut saja tafsiran yang dibuat kerajaan, sudah tentu kerajaan buat sesuatu yang baik untuk rakyatnya,” katanya kepada selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia hari ini.

Beliau menerima vaksinnya bersama Pengarah Kesihatan Perak, Dr Ding Lay Ming.

FMT semalam melaporkan Khairy Jamaluddin, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, berjanji akan menyiasat dakwaan terdapat individu tertentu “memotong barisan” untuk mendapatkan vaksin Pfizer-BioNTech.

Isu “potong barisan” sudah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Pemberi maklumat boleh hantar e-mel tanpa nama kepada saya di kj@mosti.gov.my dan saya akan siasat,” katanya dalam respons terhadap satu catatan di Twitter oleh pakar nefrologi Hospital Selayang, Dr Rafidah Abdullah.

Berdasarkan data Jabatan Kesihatan, Perak menerima 22,239 bekalan dos vaksin untuk pelaksanaan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19.

Bagi tujuan itu, 39,760 petugas barisan depan di negeri itu akan menerima suntikan vaksin pada fasa pertama program ini yang dijangka selesai pada penghujung April.

“Mereka terdiri daripada 22,094 petugas Kementerian Kesihatan manakala 17,666 lagi daripada jabatan lain yang turut terlibat secara langsung dalam aktiviti pencegahan dan kawalan,” kata Saarani.

Sementara itu, di JOHOR BAHRU, kerajaan negeri beri jaminan tidak akan berlaku dwistandard dalam pemberian vaksin kepada petugas barisan depan.

“Senarai nama penerima suntikan dos pertama ini kita serahkan kepada Kementerian Kesihatan dan kita akan ikut semua yang dikeluarkan kementerian,” kata Menteri Besar Hasni Mohammad.

Beliau menerima dos pertama vaksin Covid-19 bersama Pengarah Kesihatan Johor, Aman Rabu; dan Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay; di Dewan Muafakat Johor, Taman Daya.

“Kerajaan negeri menyasarkan lebih 80% rakyat Johor akan mendapat imunisasi Covid-19,” kata beliau dalam sidang media sebelum menerima suntikan. 


No comments: