PAS UMNO jadi bisu isu kekerapan cabutan khas

 



Muafakat Nasional tidak seindah dibayangkan, Umno-Bersatu pula menunggu  belah – Malaysia Dateline



Oleh Ghafar NS

Dalam kekalutan mencari jalan keluar dari krisis ekonomi ketika pandemik Covid-19 masih berlarutan di dalam dan luar negara, kerajaan Perikatan Nasional nampaknya masih sempat mengumumkan bahawa kekerapan cabutan khas nombor ramalan 4-digit ditingkatkan kepada 22 kali pada tahun hadapan.

Ia mengembalikan amalan lama di bawah pentadbiran Barisan Nasional, di mana cabutan khas nombor ramalan bagi Magnum, Sport Toto dan Da Ma Cai ditetapkan kepada 22 kali setahun.

Namun, keadaan itu berubah selepas Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada Mei 2018, kerajaan PH meneliti baik buruknya kesan terhadap rakyat yang suka mencuba nasib ini. Akhirnya, pada November 2018, kerajaan PH memutuskan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas ini daripada 22 kali setahun kepada 8 kali setahun.

Senator DAP, Liew Chin Tong, ada membuat satu hantaran Facebook semalam berkenaan dengan permintaannya supaya kerajaan PN mengikuti langkah PH menurunkan kadar kekerapan cabutan khas bagi mengekang dan mengurangkan pelbagai permasalahan sosial, terutamanya dalam kalangan golongan B40.

Main judi menyebabkan ketagihan. Untung rugi jadi taruhan.

Apa yang menariknya dalam status FB Chin Tong adalah menurutnya, cabutan khas dimulakan pada 1999 bagi membantu mangsa wabak virus Nipah yang menular pada tahun itu.

Kerajaan ketika itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas dan akhirnya terdapat 156 hari cabutan biasa serta 22 hari cabutan khas setiap tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador pada bulan April lalu lagi mengatakan bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, aktiviti perjudian dalam talian menunjukkan peningkatan yang membimbangkan. Bayangkan dalam waktu sekarang?

Ini merupakan satu hal yang amat membimbangkan. Apabila kebanyakan syarikat swasta terpaksa ditutup dan ramai yang kehilangan kerja, semakin bertambah pula bilangan masyarakat yang melibatkan diri dalam aktiviti perjudian.

Menerusi pengumuman yang dibuat oleh kerajaan bahawa kekerapan cabutan khas nombor ramalan ditingkatkan, mereka ini akan lebih kerap mencuba nasib.

Sesuai dengan imej kerajaan Melayu-Islam yang dibawa oleh Perikatan Nasional, maka saya sebagai salah seorang rakyat yang turut prihatin, meminta Menteri-Menteri daripada UMNO dan PAS khususnya, untuk bersuara dan menarik kembali keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas.