2021 - TAHUN PH WAJIB MELUPAKAN MAHATHIR



Tahun 2020 sudah pun berlalu pergi dan hari ini adalah hari pertama terbukanya tirai tahun 2021.


Bagi kebanyakan orang, kedatangan tahun baru akan diiringi dengan azam serta tekad baru.


Boleh dikata semua orang ada azam dan tekad baru yang mahu dicapai bersama dengan kedatangan tahun baru.


Khusus buat PH yang perjuangan serta kemenangannya telah dikhianati, kedatangan Tahun 2021 seharusnya juga merangsang sebuah azam dan tekad yang baru.


Secara umum, sekurang-kurangnya ada dua aspek perjuangan yang perlu dihadapi oleh PH pada tahun 2021 ini.


Pertama, terus berusaha mengembalikan mandat rakyat yang telah dikhianati, sama ada melalui pengumpulan Akuan Bersumpah (SD) atau dengan cara memenangi pilihanraya.


Sekiranya SD yang dikumpul mencukup untuk mengambil alih kerajaan, usaha itu mungkin berakhir dengan kejayaan atau akan berdepan PRU.


Ia terpulang kepada kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong memutuskannya di mana jika baginda merasakan pilihanraya tidak sesuai diadakan sekarang, maka akan berlakulah perubahan kerajaan, tetapi jika baginda beranggapan boleh diadakan PRU, itulah yang harus dihadapi oleh PH.


Tetapi, berdasarkan pelbagai maklumat, keinginan untuk menjatuhkan kerajaan PN dan Muhyiddin Yassin begitu tinggi sekarang ini.


Di pihak UMNO, mereka boleh dikata sudah tidak tahan lagi terus dibuli dan diperlakukan oleh Bersatu serta percaya lagi lama mereka berada dalam kerajaan, lagi terancam kedudukan UMNO dibuatnya.


Dalam hal ini, UMNO mula bersikap agak terbuka kepada pilihan sama ada berada dalam kerajaan campuran bersama PH buat sementara atau berdepan PRU.


Dalam kedua-dua keadaan, UMNO percaya kedudukan mereka akan bertambah baik berbanding terus berada dalam kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin sekarang.


Dalam aspek kedua, sempena kedatangan tahun baru ini juga, PH harus lebih komited mengukuhkan kedudukannya, baik untuk menjadi kerajaan menggantikan PN atau menghadapi PRU.


Masalah yang tak berkesudahan dalam PH ialah adanya segelintir pihak masih taksub dan mengharapkan Tun Mahathir Mohamad bersama gabungan itu.


Walaupun mudah difahami bahawa Tun Mahathir telah meruntuhkan kerajaan PH, mengkhianati janji peralihan kuasa dengan berdolak-dalik mengenainya, bahkan setelah hilang jawatan Perdana Menteri dan dalam cubaan merebutnya semula pun beliau masih enggan bekerjasama dan menerima kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi PH, malangnya ada yang kekal dengan ketaksuban serta beranggapan pengasas Parti Pejuang itu mampu menguatkan lagi PH.


Dengan pelbagai karenah yang ditunjukkan oleh Tun Mahathir kebelakangan ini, adalah jauh lebih baik dan munasabah untuk semula pihak dalam PH menjadikan tahun 2021 sebagai tahun melupakan terus kelibatnya.


Dalam keadaan di mana diketahui dendam kesumatnya terlalu dalam terhadap Anwar, mesti disedari beliau bukanlah faktor penguat atau pemberi kelebihan kepada PH, sebaliknya lebih merupakan faktor pengganggu dan pemusnah kepada kejayaan yang ingin dicapai oleh PH sendiri.


Keinginan beliau hanya dirinya perlu dijadikan ketua dan Perdana Menteri atau calon yang dipilihnya saja yang bukan daripada PH sebagai calon Perdana Menteri, sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan semua pihak dalam PH tentang niat tidak baiknya, bukan saja kepada Anwar, tetapi juga kepada PH secara keseluruhannya.


Dengan kedudukan Tun Mahathir yang tidak mempunyai parti dan sokongan di belakangnya pula amat kecil, PH harus terus melangkah ke hadapan dan tidak perlu lagi membuang masa merindui atau menyebut-nyebut namanya.


Biarkan saja Tun Mahathir dan dua tiga kerat pemimpin yang ada bersamanya mereput, sebelum pada PRU15 nanti pasti berakhirlah karier masing-masing mereka itu.


Namun, selagi bayang-bayang Tun Mahathir masih wujud di kalangan segelintir pihak, PH bukan saja tidak mampu ke mana-mana, malah untuk memenangi PRU15 pun jadi mustahil dibuatnya.


Selagi Tun Mahathir dirindui atau disebut namanya oleh pihak dalam PH, selagi itulah juga beliau akan memainkan peranannya menggagalkan perjuangan PH.


Begitu pun, ini bukanlah bermakna PH bersikap tertutup dan enggan menambah sokongan yang ada.


Baik Pejuang, Warisan, Muda atau siapa saja, mereka boleh saja bersama dan menyertai PH, tetapi mestilah akur dengan kepimpinan dan jalur perjuangan yang sudah dibinanya, malah telah pun diterima oleh sebahagian rakyat di negara ini.


Tun Mahathir sendiri, sebagaimana disebut Anwar, boleh bersama PH tetapi mesti akur dengan ketetapan perjuangan sedia ada tanpa ada agenda peribadi atau lain-lainnya.


Janganlah pihak di luar sana, belum pun diterima masuk ke rumah PH, tetapi sudah pandai meletakkan syarat ingin tidur di bilik utama, mahu menyusun semula perabot dan sebagainya.


Hendak masuk ke rumah orang buatlah cara bertamu yang selayaknya. (Shahbudindotcom 01/01/2021)



No comments: