JANGAN SEMBANG KARI, KALAU SUNGGUH TOLAK BERSATU, JATUHKAN MUHYIDDIN SEGERA!!


 Sentimen penolakan terhadap Bersatu nampaknya cukup kuat dan menggerunkan dalam mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian pada tahun ini.

Mesyuarat perwakilan UMNO tahun ini berlangsung selama tiga hari antara 1 hingga 3 Januari.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga negeri telah menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang.

Negeri tersebut ialah Perak, Pahang dan Kelantan.

Dipercayai banyak lagi bahagian yang bermesyuarat hari ini akan membuat ketetapan yang sama dan tidak mustahil akhirnya semua UMNO negeri secara majoriti turut menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu.

Diperkatakan banyak pihak bahawa lebih 145 daripada 191 UMNO bahagian-bahagian akan meluluskan usul menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu itu.

Yang lebih dahsyat, sementara ada pemimpin UMNO Johor yang barangkali terhutang budi kerana dilantik menteri dan ingin agar Muhyiddin Yassin diberi laluan bertanding di Pagoh tanpa dicabar oleh UMNO, keputusan itu pun turut sama dipangkah oleh UMNO Bahagian Pagoh sendiri.

Ketua UMNO Pagoh, Ismail Mohamed berkata, ahli bahagian itu sebulat suara meluluskan resolusi dalam mesyuarat tahunan mereka dengan membantah sebarang keputusan untuk memberi laluan percuma kepada Muhyiddin.

“Saya berharap mereka (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) akan dengar suara kami (ahli akar UMNO) dan beri kebenaran untuk UMNO Pagoh bertanding kerusi Parlimen tersebut dan dua kerusi DUN di dalamnya (Bukit Kepong, Bukit Pasir).

“Kita hormat UMNO negeri, tetapi kita harap mereka boleh menghormati pendirian kami juga,” kata Ismail lagi.

Melihat kepada momentum penolakan yang memuncak ini, adalah sukar untuk melihat hubungan UMNO dan Bersatu mampu bertahan lebih lama.

UMNO ketika ini bukan saja enggan bekerjasama dan berkongsi kerusi dengan Bersatu, malah juga tidak mahu lagi menerima kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Di seluruh pelusuk negara, suara menolak Muhyiddin jelas kedengaran tanpa diselindung lagi.

Persoalannya, apa jadi selepas 3hb Januari nanti?

Jika majoriti UMNO bahagian-bahagian meluluskan usul menolak Bersatu, apakah selepas 3hb Januari ini UMNO masih lagi tidak malu untuk terus tercongok berada dalam kerajaan yang dipimpin Muhyiddin?

Dalam hal ini, adalah penting UMNO bersikap “gentleman”, anak jantan dan cakap serupa bikin dalam kata-kata dan tindakannya.

Janganlah gegak-gempita menolak Bersatu tetapi masih sayang untuk melepaskan jawatan menteri dan dalam GLC yang disandang sekarang dengan gaji lumayan setiap bulan.

Sementara akar umbi di bawah sedang bersemangat menolak Bersatu dan mereka juga bersedia bertempur dalam pilihanraya bila-bila masa, pimpinan UMNO tidak seharusnya berlengah lagi membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu, kerajaan PN dan Muhyiddin sesuai dengan ketetapan usul yang dipersetujui UMNO bahagian itu.

Adalah tidak guna sama sekali, bacul dan pondan jika setelah majoriti UMNO bahagian membuat ketetapan menolak Bersatu, tetapi ia tidak disertai dengan tindakan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.

Oleh kerana difahamkan MT UMNO akan bermesyuarat pada 6hb Januari, tarikh itu juga sepatutnya menjadi titik penamat bagi kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Kalau tidak, UMNO bukan saja mengecewakan ahli-ahli akar umbinya, malah orang luar pula akan melihat UMNO hanyalah “parti sembang kari”. 


(Shahbudindotcom 03/01/2021)



No comments: