Salah seorang peserta Miss Plus World Malaysia 2020, Jastina Mohd Junus mengakui tidak tahu mengenai syarat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bahawa peserta wanita beragama Islam tidak dibenarkan menyertai acara itu.
“Masya-Allah, kami memang tak tahu perkara itu. Itu kena tanya penganjurlah. Tapi, setakat ini kami dilayan sama rata,” katanya selepas majlis yang berlangsung di Putrajaya semalam.
Jastina memenangi gelaran Duta Kemanusiaan Miss Plus World dalam pertandingan ratu cantik untuk wanita berbadan besar itu.
Kata Jastina, dia maklum mengenai bantahan terhadap acara itu sebelum ini namun menyifatkannya hanya salah faham.
“Kami maklum akan bantahan tersebut, tetapi seperti yang anda lihat kami masih memakai inner dan berseluar panjang di dalam gaun.
“Jadi, tidak ada isu bagi kami. Sebab setakat ini saya masih berhijab dan mengekalkan imej saya sebagai wanita berhijab tanpa halangan,” katanya.
Kata Jastina, MPWM juga wajar diteruskan pada masa hadapan.
“Acara ini bukan untuk cari siapa paling cantik. Awak boleh tengok sendiri bagaimana kami sisterhood di atas pentas dan bagaimana hubungan kami semua. Tak kisahlah India, Cina, Melayu kami sayang satu sama lain dan kami sokong satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, PAS dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) membantah penganjuran program tersebut kerana disifatkan sebagai program tidak bermanfaat dan berunsur kemaksiatan.
Bagaimanapun, Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan semalam menegaskan penganjur perlu mematuhi janji sepertimana yang telah dipersetujui.
Nasrudin berkata, Jabatan Agama Islam (Jakim) telah mengadakan pertemuan dengan pihak penganjur pada 31 Disember lalu, sebelum mencapai beberapa kata sepakat.
Antara keputusan yang dicapai ialah penganjur tidak akan melibatkan peserta Muslim (menggugurkan penyertaan).
“Tiada peserta wanita beragama Islam yang akan menjadi pemenang dan menjadi wakil ke Peringkat Antarabangsa di Miss Plus World USA.
“Peserta beragama Islam hanya akan menjadi pemerhati dan duduk di meja VIP (orang kenamaan),” katanya.
Yadim katanya tetap mengambil pendirian membantah Miss Plus World sekiranya ia diteruskan dan menyerupai pertandingan ratu cantik wanita.