Pas nafi jadi bisu isu judi dan arak bila dah jadi kerajaan

 

Pas nafi jadi bisu isu judi dan arak bila dah jadi kerajaan

PAS tidak pernah membisu dalam isu pengharaman judi di negara ini walaupun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan sekarang.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, pendirian PAS jelas sama ada sewaktu menjadi pembangkang atau sekarang dalam isu berkaitan judi atau arak tetap dibantah.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut menolak dakwaan parti itu menyepi dalam isu terbabit setelah menjadi kerajaan.

Malah, tambahnya pendirian parti untuk memerangi judi dan arak tetap sama sejak dahulu sehingga sekarang.

“Apabila kita menjadi sebahagian daripada kerajaan, lebih mudah untuk menyatakan bantahan. Bantahan secara dalaman terus kepada kementerian yang berkaitan.

“Untuk Pakatan Harapan yang viralkan kata PAS senyap dan membisu itu, kita nak bagi tahu yang kita tidak membisu, “ujarnya.

Bagaimanapun, katanya bentuk bantahan itu disesuaikan sebagai sebuah kerajaan, sebagai contoh ia dibuat secara dalaman.

“Jadi itu lebih efektif berbanding sewaktu kita sebagai pembangkang,” katanya kepada media hari ini selepas merasmikan Khatan Is’Aadul Usrah.

Turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Ahmad Fathan Mahmood.

Program yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 dan Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa itu membabitkan hampir 50 kanak-kanak golongan B40.

Dalam pada itu, mengenai dakwaan kerajaan Perikatan Nasional meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit daripada lapan kali pada 2020 kepada 22 kali pada 2021 pula Ahmad Marzuk berkata, perkara itu dibangkitkan di Dewan Negara baru-baru ini dan belum mendapat kenyataan rasmi Kementerian Kewangan.



No comments: