SATIRA POLITIK SEMASA MALAYSIA

 Oleh: C Nicholl.

Bas yang dipandu Muhyiddin tergelincir menyebabkan tayar depan disebelah kiri pancit. Dia terpaksa berhenti di tepi jalan dalam arus trafik yang agak sibuk.

Jalan raya taraf dunia ketiga ini tidak begitu baik. Banyak lubang-lubang yang dipenuhi takungan air. Tambah lagi sekarang musim hujan.

Sewaktu memandu tadi, Muhyiddin yang tidak begitu fasih tentang peta perjalanan ‘Waze’ atau ‘Google’ telah tersasul dan sesat arah beberapa kali. Jalan yang banyak persimpangan ini rupa-rupanya tidak semudah yang disangka dan juga banyak halangan.

Dalam kegelapan malam yang tiada sinaran lampu jalanraya, dia tidak nampak ‘pot hole’ yang agak besar dijalanan, lantas terbolos ke takungan air yang agak dalam.

Bas itu terpesong ke kiri, ke bahu jalan. Nasib baik tak ada motosikal yang sering melintasi di lorong kiri jalan. Lokasinya pun entah di mana.

Bas panjang yang boleh memuat lebih 140 tempat duduk ini cuma di penuhi dengan 112 penumpang sahaja.

Mereka semuanya terperanjat dengan pergolakan bas yang tidak tentu arah, terumbang ambing dan tidak seimbang. Hentakan badan bas yang agak keras lagaknya seperti melanggar sesuatu. Bencana itu membuat bas berhenti sendiri dari pancitan tayar depan disebelah kiri. 

Sewenangnya ramai penumpang berteriak dan bising. Terutama yang tidak ada jawatan dan duduk di bahagian belakang bas. Mereka memarahi pemandu bas muafakat ini yang bisa juga disebut pm sebagai panggilan singkat. Kemalangan ini berlaku kerana pm tidak cekap, itulah maksud mereka yang tidak senang kebelakangan ini, terutama selepas lawatan ke Sabah tempohari.

‘Hoi, apa ni.. pm kopi o ke?’ Tengking Najib dengan agak jengkel yang duduknya paling dibelakang sebelahan Maslan. Kepala hotaknya yang kurang rambut terantuk di besi pemegang tangan didepannya. Dia agak kesakitan dan secepat itu kulit kepalanya menjadi merah dan terus bengkak. Dia mengeluarkan sapu tangan dan terus mengesat perlahan.

‘Ye, boss, pm lesen pintu belakang tu..’ Ujar Zahid yang duduk di satu barisan di depan bersama Ka Seong, dengan sedikit selamba tapi dengan maksud yang dalam.

‘Jom turun dari bas,’ celah Maslan persis seorang anak kecil yang merajuk.

‘Tunggu, ikut giliran.’ Jawab Saravanan.

‘Engkau ni selalu sarang yang pelik-pelik.’ Kata Nazri sinis. ‘Habis, kau nak naik bas mana..?’

Setelah bas berhenti dilorong kecemasan, Muhiyudin yang agak berkerut mukanya, turun untuk memeriksa masaalah yang di hadapi.

Dia diikuti oleh dua orang pembantunya yang duduk di barisan paling depan, Takiyudin dan Redzuan, yang menolakbuka pintu penumpang disebelah kiri bas, dan ikut turun.

Mereka bertiga berdiri tegap di pinggir bas. Setelah melihat tayar yang begitu kempis Muhyudin yang sangat terkilan terus memarahi Redzuan yang telah diberi tugas-tugas khas menjaga bas.

‘Apa kau tak periksa tayar bas sebelum kita bertolak?’ Tengking pm.

‘Ini tayar baru beli, pm.’ Jawab Redzuan ringkas.

‘Baru beli? Tengok, kau beli tayar celup yang dah botak..tak ada bunga..’ sambil pm menggosok tayar yang sememangnya tiada bunga. Jarang sekali Muhyudin yang selalunya sejuk bak timun itu naik angin.

Melihat Redzuan terdiam, dia menambah. ‘Aku kasi engkau duit untuk tayar baru.. kau kemut duit, ya..?’ Muhyudin agak berang.

Takiyudin yang sedari tadi diam memerhati, mempunyai lampu suluh yang terang bak bulan purnama. Lalu dia menyuluh kearah tayar yang botak dan kempis itu. Gayanya seperti mengiyakan apa yang pm maksudkan. 

‘Tapi tiub ni memang baru, pm ‘ jawab Redzuan, mempertahankan dirinya. 

‘Oi..jangan bohong. .sekarang mana ada tayar pakai tiub…tukar tiub, orang tak pakai lagi dah!’ Herdik pm.

Serentak itu, Hadi dan Tuan Man yang mendengar kemarahan pm dari dalam bas pun turut turun. 

Hadi dan Tuan Man menyuluh terus ke arah tayar dengan lampu suluh masing-masing yang lebih besar, terang dan bulat bak bulan penuh purnama itu. Suluhan mereka, menerangi kawasan tayar bas yang sepertinya meniarap dibahu jalan. 

‘Dulukan saya dah cadang, bagus kalau kita beli bas terbang.. tak ada tayar.’ Ujar Hadi sambil ketawa sinis.

‘Oi..haji.. jangan nak perli aku..’ jawab Redzuan dengan agak pantas dan keras. 

Beberapa penumpang lain yang mendengar pertelingkahan itu turut serta turun dan memeriksa keadaan tayar. Sebetulnya untuk mendengar percakaran dengan lebih jelas.

Annuar dan Abang Jo yang agak tinggi berdiri disisi Tuan Man sambil berkata.

‘Kita ada tayar spare kan?’ Tanya Annuar.

‘Mesti ada.’ Jawab Abang Jo pantas.

‘Motosikal gue pun ada spare tire.’

‘Eh, motor kau tu memang tiga tayar lah. Itu untuk orang yang takut naik motor tayar dua…’ Sindir Redzuan pula yang sememangnya masih agak marah.

‘Tak payah bertekaklah kawan-kawan. Ini kerja enteng.. ‘ kata Annuar.

Muhyudin yang kini menyepi tiba-tiba bersuara bila dia melihat ramai lagi yang turun dari dalam bas. Antaranya Ismail, Hisham, Zahid dan diikuti Maslan, Azeez dan Najib. Mereka semua berdiri di belakang pm.

‘Aku hauslah.. tolong sesiapa pergi beli air dulu.’ Kata pm.

‘Ye, ada kedai di sana tu.’ Annuar menunjuk kearah kawasan gerai yang agak malap lampunya. Mereka menoleh ke arah kedai.

‘Tuan ..awak yang jaga air, awak pergi beli untuk kita semua.’ Annuar memberi arahan pada Tuan Man.

‘Ok, order. Saya tulis.’ Kata Takiyudin seperti membantu Tuan Man.

‘Saya nak Milo suam..ikat tepi.’ kata pm.

‘Saya nak kopi O Peng..’ kata Hadi.

‘Oi haji, janganlah mengata orang. Tak baik…’ Tiba-tiba suara Wan Junaidi mencelah.

‘Kami semua nak teh O peng.’ Kata Najib dari belakang disambut dengan ketawa yang kuat oleh Ismail, Annuar, Zahid, Maslan, Merican, Nazri, Ka Seong dan beberapa lagi ahli dari kumpulannya. Kelihatan pm juga tersenyum.  

Serentak dengan hilai tawa itu, tiba-tiba sebuah bas yang juga agak panjang dengan nombor plat PKR 1, berhenti di kiri jalan, di hadapan bas mereka yang tidak bergerak itu.

Mereka semua mengalih pandangan kearah bas tersebut.  Zahid yang sedari tadi agak diam, dalam pemikiran yang tersendiri, tiba-tiba berlari kecil ke arah bas tersebut meninggalkan kawan-kawan yang lain.

Dipintu sebelah kiri yang tersedia terbuka berdiri seseorang yang dikenali Zahid.

‘Apa hal, Sheikh?’ suara dari pintu bas agak jelas membelah malam yang agak suram itu. 

‘Tayar bas pancit..’ jawab Zahid setelah hampir.

‘Hang dengan sapa..?’ tanyanya lagi.

‘..pm dan kawan-kawan…Pak Sheikh nak pi mana?’ Balas Zahid yang sekarang berdiri didepan pintu bas yang agak usang.

‘Ana nak pi Istana, besok pagi. Hari tu hang kata nak ikut..’ bunyinya seperti soalan.

‘Esok tak dapat Pak Sheikh. Ni Pm nak hantar kami pi mahkamah dulu ..’ jawab Zahid.

‘Hang tak protes ka..?’ 

‘Dalam proses.. ‘ jawab Zahid.

‘Baik hang ikut ana. Bas hang dah pancit. Naik bas ni. Kita boleh sembang sikit, noh.. mana tahu, hang ikut ana ke Istana. Lepas tu mungkin tak payah pi mahkamah lagi kot…’ 

‘Boleh jugak. Ana sorang ka atau ajak kawan-kawan yang lain sama?’ Zahid bertanya balik.

‘Sapa nak ikut ajaklah. Lagi ramai, lagi baguih..’ 

‘Ok..Tapi ana nak kena pi bagitau kat pm tu sat.. Depa tunggu tu…. kena tukar tayar dulu.’ Jawab Zahid.

‘Ok, jangan lama, noh. Ana tunggu ni..’

‘Baik.’ Jawab Zahid sambil mengundur kearah bas dibelakang.

Sepantas dia berjalan untuk kembali bersama teman-temannya, sepantas itu juga sebuah ‘tow truck’ mencelah di antara kedua-dua bas yang berhenti. 

Dari dalamnya menonjol keluar seorang yang agak botak kepalanya, bercelana pendek, agak bulat badannya dan bertanya.

‘Latuk Hamzah mana? Tadi dia panggil saya datang..tukar tayar.

Saya, dia punya kuli.’ 

‘Oh..lu kuli Hamzah..boleh..boleh..repair ini tayar.. cepat ya..kita mahu jalan.. ‘ kata Annuar sambil menunjuk kepada tayar depan bas yang kempis.

Yang lain-lain agak kaku dan tercengang.

Annuar berkata dalam hatinya, ‘cekap sungguh Hamzah ni. Walaupun masih dalam ‘quarantine’, dia hantar kuli untuk selesaikan masaalah. Hebat dan luar biasa.’

Sepantas itu Takiyudin pulang bersama Tuan Man dari kedai kopi. Sayang seribu kali sayang; mereka pulang dengan tangan kosong.

‘Kawan-kawan.. rupanya bas kita rosak di Selangor. Di sini, Air tak ada..’

…bersambung (Bahagian 2)