COVID-19: 847 kes baharu, lima kematian dilaporkan


Hilmi Malik
COVID-19: 847 kes baharu, lima kematian dilaporkan
Sebanyak 842 kes merupakan penularan tempatan manakala lima lagi merupakan kes import yang menerima jangkitan dari luar negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat sebanyak 847 kes baharu positif COVID-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di negara sebanyak 23,804.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 842 merupakan kes penularan tempatan manakala lima lagi merupakan kes import yang menerima jangkitan dari luar negara.
“Lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dilaporkan di Selangor dan kesemua melibatkan bukan warganegara terdiri daripada India (4 kes) dan Amerika Syarikat (1 kes).
“Berdasarkan jumlah itu, kes kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 8,183,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 pada Khamis.
Bagi perkembangan COVID-19 melibatkan negeri pula, beliau berkata, Sabah terus berada pada kedudukan tertinggi kes penularan COVID-19 dengan pertambahan 578 kes baharu diikuti Selangor yang merekodkan pertambahan 132 kes.
Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 486 kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih di negara adalah sebanyak 15,417 kes.
KKM turut melaporkan terdapat pertambahan lima kes kematian baharu menjadikan angka keseluruhan kes kematian COVID-19 sebanyak 204 kes.
Ketika ini juga, sebanyak 90 kes yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu sebanyak 29 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.


No comments: