Gembeling semua pihak untuk Belanjawan 2021, kata Anwar

 

Gembeling semua pihak untuk Belanjawan 2021, kata Anwar
"Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah sistem yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai," kata Anwar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar semua pihak mengembelingkan tenaga secara bipartisan untuk merangka Belanjawan 2021.

“Bersabit dengan Belanjawan 2021 yang akan dibentang kelak, ia harus menggembleng usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan) yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik COVID- 19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga melahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mahukan sebuah sistem bebas dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Presidennya PKR yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kedua-dua blok parti kerajaan dan pembangkang perlu menggembleng usaha dan peranan merancang strategi memerangi Covid-19 dalam pembentangan Belanjawan 2021 akan datang.

“Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana ahli politik yang mendambakan sebuah sistem yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai,” kata beliau.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan Kabinet Muhyiddin untuk mengisytihar darurat yang membolehkan Parlimen digantung.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Negara, Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Cadangan dikemukakan Muhyiddin itu dikatakan berikutan bimbang usul pembentangan Belanjawan akan ditolak semasa sidang Parlimen kerana tidak cukup majoriti sokongan.

Sementara itu Anwar menegaskan, sebarang usaha mengembalikan mandat rakyat mestilah berpaksikan keutamaan untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.


No comments: