Kerajaan perlu perbanyakkan pusat kuarantin, kurangkan risiko COVID-19

 







Jurucakap KEADILAN bagi kesihatan, Dr Lee Boon Chye berpandangan adalah lebih wajar kerajaan memperbanyakkan pusat kuarantin bagi menempatkan pesakit COVID-19 yang berisiko rendah dan tidak bergejala berbanding ditempatkan di rumah.

 

Bekas timbalan menteri kesihatan itu menganggap walaupun ada pesakit yang tidak bergejala, ahli keluarga yang berada di rumah berisiko dijangkiti wabak berbahaya itu.

 

"Langkah membenarkan mereka menjalani kuarantin dan rawatan di rumah akan membuka jalan kepada risiko jangkitan “yang sangat tinggi” dalam kalangan ahli keluarga walaupun semua pelbagai langkah diambil bagi menghalangnya," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang untuk menempatkan pesakit COVID-19 berisiko rendah dan yang tidak bergejala di rumah kerana pusat kuarantin sudah hampir memenuhi kapasiti.

 

Dr Lee bagaimanapun berpandangan bahawa pesakit hendaklah ditempatkan di pusat kuarantin yang ditetapkan dengan tanggungan sepenuhnya oleh kerajaan atau skim MySalam, terutama golongan yang tidak berkemampuan.

 

"KKM boleh menggunakan hotel, asrama atau dewan komuniti sebagai kemudahan sementara seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor sebelum ini.

 

“Justeru, cadangan merawat pesakit di rumah hanya menggambarkan peningkatan kes jangkitan yang berlaku di Sabah. KKM perlu dibantu bukan sahaja untuk merawat pesakit, tetapi juga mengawal jangkitan di sana," katanya.

 

No comments: