SABAH AKAN TERUS BERGOLAK.SETUJUKAN MUHYIDDIN MELANTIK BUNG MOKHTAR SEBAGAI KETUA MENTERI


Walaupun PRN Sabah sudah berakhir, kemelut politik dan ketidaktentuan di negeri itu dijangka akan berterusan untuk beberapa hari lagi.

Ini berikutan, masih wujud beberapa kesamaran daripada keputusan yang dibuat oleh pengundi Sabah itu.

Dari segi parti yang berdaftar dengan SPR, Warisan berjaya memenangi jumlah kerusi terbanyak iaitu 29, diikuti PN 17, BN 14, PBS 7, Bebas 3, PKR 2 dan Upko 1.

Oleh kerana PN, BN dan PBS bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah atau GRS, mereka setakat ini dikira berjaya memperolehi majoriti untuk membentuk kerajaan iaitu sebanyak 38 kerusi.

Dalam erti kata, kerajaan Warisan pimpinan Shafie Apdal boleh dikata sudah tumbang sekarang ini.

Cumanya, GRS bukanlah sebuah gabungan yang berdaftar, baik dengan ROS atau SPR seperti mana PN, BN, Warisan dan lain-lain parti.

Dalam keadaan demikian, itulah yang menyebabkan Shafie Apdal masih enggan mengaku kalah kerana mendakwa partinya dikira menang jumlah kerusi yang terbanyak berbanding lain-lain parti yang sah.

Dengan itu, tidak mustahil dalam beberapa jam mendatang, acara lompat-melompat dan pesta membeli-belah akan bermula dengan meriah sekali berikutan keinginan kedua-dua pihak untuk mengesahkan kemenangan masing-masing.

Akhirnya, siapa yang berjaya membuat tawaran lebih baik, merekalah yang berjaya memperolehi lebih banyak sokongan dan seterusnya berpeluang membentuk kerajaan.

Secara mudahnya, sehingga ini belum boleh diketahui siapa yang akan dibenarkan oleh Istana Sabah untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, malah mungkin gerakan menarik sokongan sedang giat dijalankan.

Itu pergolakan pertama yang tidak diketahui bila akan berakhirnya.

Pergolakan kedua ialah tentang mengisi jawatan Ketua Menteri sekiranya GRS diiikriraf sebagai memenangi PRN Sabah.

Sebagaimana yang diketahui umum, BN mencalonkan Bung Mokhtar Radin untuk jawatan Ketua Menteri, manakala PN menonjolkan Hajiji Noor.

Daripada 14 kerusi yang dimenangi oleh BN, semuanya dimenangi oleh calon daripada UMNO.

Bagi PN pula, daripada 17 kerusi yang dimenanginya, 10 dimenangi oleh Bersatu dan 7 lagi oleh Star.

Ini bermakna, dari segi parti yang menyumbang jumlah kerusi terbanyak kepada kemenangan GRS, ia telah disumbangkan oleh UMNO.

Sebagaimana yang disebut oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, dengan itu maka Bung Mokhtar seharusnya dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah mewakili GRS.

Soalnya, apakah Hajiji setuju dan mahu mengalah?

Apakah juga Muhyiddin Yassin setuju Bung Mokhtar dilantik sebagai Ketua Menteri sedangkan beliau sudah menonjolkan nama Hajiji sebelum ini?

Lebih daripada itu, apakah Muhyiddin turut tidak kisah dengan kedudukan Bung Mokhtar yang masih berdepan kes di mahkamah untuk dilantik mengetuai sebuah kerajaan negeri?

Kalau Muhyiddin berkeras mahukan Hajiji pula, bagaimana jika UMN tidak setuju dan beberapa Adunnya mengancam untuk mengalih sokongannya?

Selain itu, apakah sokongan PBS dan Star sentiasa kekal bersama GRS?

Tidak mungkinkah mereka boleh beralih kepada Warisan jika terma dan syarat-syarat diminta dipenuhi?

Yang pasti, UMNO dan Bersatu akan terus berkocak dan bergasak untuk beberapa hari akan datang ini. (Shahbudindotcom 27/09/2020)