Mana boleh kompaun kesalahan langgar kuarantin?
Haris Alimudin
1. Merujuk Kenyataan Akhbar oleh Kementerian Kesihatan bertarikh 22 Ogos 2020, menyatakan YB Dato’ Dr Khairudin Aman Razali telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020 (selepas ini disebut Peraturan No.7 ) dan telah dikenakan kompaun.
2. Dalam Peraturan No.7, tiada peruntukan kesalahan berkaitan melanggar perintah kuarantin. Kesalahan yang ada ialah seseorang yang diarahkan kuarantin di rumah hendaklah memakai gelang tangan yang disediakan oleh pegawai yang diberi kuasa. Kesalahan melanggar perintah kuarantin terdapat seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang mana hukumannya boleh dihukum dengan hukuman dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda atau dengan kedua-duanya. Jika benar beliau dikompaun bawah Peraturan 7, ini adalah satu helah untuk mengelakkan YB Dato’ Dr Khairuddin Aman dikenakan hukuman yang lebih berat jika diambil tindakan bawah Akta 342.
3. YB Dato’ Dr Khairudin Aman sepatutnya diambil tindakan bawah dua kesalahan iaitu; Pertama, ingkar perintah kuarantin. Kedua, kesalahan gagal memakai gelang.
4. Terdapat beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan Kementerian Kesihatan;
(a) Kenapa YB Dato’ Dr Khairudin Aman hanya dikompaun bagi kesalahan di bawah Peraturan No.7 yang mana peruntukan ini bukan kesalahan melanggar perintah kuarantin?
(b) Adakah YB Menteri hanya dikompaun bagi kesalahan tidak memakai gelang sedangkan kesalahan lebih besar ialah melanggar perintah kuarantin?
(c) Jumlah kesalahan yang perlu diambil tindakan sepatutnya hendaklah mengikut jumlah acara /program yang beliau hadiri sepanjang beliau gagal mematuhi perintah ini. Adakah jumlah kompaun mengambil kira perkara ini ?
(d) Adalah tidak munasabah beliau terus dikompaun pada 7 Ogos 2020 sedangkan tarikh itu adalah tarikh beliau sampai dari Turki. Adakah ini betul dari sudut undang-undang atau terdapat perkara yang ingin disembunyikan?
5. Kerajaan perlu menjelaskan perkara ini. Jika gagal, benarlah anggapan rakyat bahawa layanan terhadap Menteri dengan rakyat marhaen adalah tidak sama.