PN GANTI BN.BERSATU AMBIL ALIH DOMINASI UNMO DALAM MN


Semuanya nampak seperti sudah diatur dan bergerak mengikut jalan cerita yang telah dirancang.
Dengan Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Hadi Awang sendiri telah menulis surat secara rasmi kepada Muhyiddin Yassin menjemput Bersatu menyertai Muafakat Nasional, kemasukan parti itu ke dalam MN sudah tentu tidak menjadi masalah lagi.
Atas dasar adanya jemputan pula, Muhyiddin turut mengumumkan Bersatu telah setuju untuk menyertai MN.
Ibarat telah menghantar kad jemputan untuk kenduri kahwin, tidak pernah tuan rumah menarik balik jemputan yang telah dikeluarkan.
Dalam hal ini, meskipun Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan berkata, suara akar umbi akan didengar terlebih dahulu lantaran majoritinya kurang setuju terhadap kerjasama UMNO dengan Bersatu, jemputan yang telah dikeluarkan kepada Muhyiddin mustahil ditarik balik.
Kecuali jika Muhyiddin kemudian membuat keputusan menarik balik persetujuan menyertai MN, keberadaan Bersatu di dalam MN boleh dikata tiada apa-apa halangam lagi.
Lagi pun, mengguna hujah akar umbi tidak ubah seperti mendengar rungutan anak cucu yang tidak setuju dengan kehadiran ketua kampung berlainan parti ke majlis kenduri kahwin bapa mereka.
Suara anak cucu tidak ke mana-mana akhirnya kerana malulah sibapa mahu menarik balik jemputan yang sudah dikeluarkan.
Tambahan lagi, rakan asal UMNO dalam MN iaitu Pas, ternampak amat ghairah untul melihat Bersatu berada di dalam MN.
Sebaik kedudukan Bersatu hampir pasti terjamin menyertai MN, Kumpulan Azmin Ali pun seperti diatur masa mengumumkan penyertaannya ke dalam Bersatu.
Pengumuman itu dibuat semalam di suatu program himpunan beberapa NGO pro Azmin yang turut dihadiri oleh Muhyiddin.
Kata Zuraidah Kamaruddin, salah seorang penyokong kuat Azmin, penyertaan mereka ke dalam Bersatu akan menjadikan parti itu paling kuat dalam kerajaan sekarang.
Serentak dengan kemasukan itu, Muhyiddin juga mengumumkan rancangan Bersatu untuk meminda perlembagaan bagi membolehkan kaum-kaum lain memegang jawatan dalam parti itu.
Katanya, kajian itu sedang dilaksanakan oleh sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Dr. Rais Yatim dan akan dibentangkan kepada mesyuarat MPT Bersatu dalam waktu terdekat ini.
Mahu tidak mahu, perubahan ini tentu saja ada kaitan dengan kemasukan Kumpulan Azmin yang berasal daripada PKR, sebuah parti pelbagai kaum tapi berteraskan Melayu, ke dalam Bersatu.
Melalui perubahan tersebut, Bersatu selepas ini akan menjadi parti mirip seperti PKR, bukan lagi sebuah parti Melayu totok seperti UMNO dan Pas.
Dengan keadaan itu serta melalui beberapa pemimpin bukan Melayu dalam Kumpulan Azmin yang telah menyertai Bersatu, parti itu bukan saja akan melebarkan lagi usaha menarik bukan Melayu bersama mereka, malah akan perlahan-lahan berusaha menenggelamkan MCA dan MIC yang seperti tidak bermaya ketika itu.
Dengan itu, dari segi pembahagian kerusi melalui MN, Bersatu dengan sendirinya mampu bersuara dengan lebih lantang menuntut jumlah yang munasabah buat mereka, termasuk kouta untuk Kumpulan Azmin dan Kumpulan Hamzah Zainuddin yang sebelum ini bagai nak rak dibantah dan enggan dikompromi oleh UMNO.
Di ketika yang sama, Muhyiddin tetap meneruskan perancangan mendaftarkan Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan yang sah, walaupun UMNO bertegas tidak akan menyertainya.
Tetapi, dalam pendaftatan PN itu, selain Bersatu, beberapa parti lain dalam kerajaan iaitu Pas, GPS dan MIC adalah merupakan jawatankuasa penajanya.
Ini bermakna, bagi Muhyiddin, ada atau tidak UMNO di dalam PN selepas ini, ia tidaklah penting baginya kerana yang lebih penting ialah Bersatu sudah berada di dalam MN.
Maka, apa jadi seterusnya?
Ternampak jelas bahawa dengan semua perkembangan ini, Muhyiddin sedang bergerak untuk menjadikan Bersatu lebih dominan berbanding UMNO, seterusnya memguasai MN serta dalam masa yang sama akan memastikan BN dikuburkan untuk diganti dengan PN untuk bertanding dalam PRU akan datang.
Dengan kedudukan tanpa kuasa, sebahagian pemimpin UMNO sendiri lebih sayang kedudukan dalam kerajaan berbanding perjuangan, manakala Najib Razak sudah kena dan Zahid Hamidi mungkin bakal menyusul, apa lagi yang mampu menghalang gerakan Muhyiddin yang tentunya dibantu Azmin dan Hamzah Zainuddin untuk melenyapkan UMNO dan BN yang nampaknya sudah berada di laluan yang lancar setakat ini?
Malah, jika PN terus menang PRU akan datang, siapa bakal Perdana Menteri selepas Muhyiddin tidak sukar lagi untuk diduga.

 Shahbudindotcom 23/08/2020)

No comments: