BAGAIMANA AT TAKIRI DI KOMPAUN PADA 7 OGOS ,SEDANGKAN ISUNYA DIBANGKITKAN PADA 18 OGOS?

Ramai rakyat Malaysia terkejut dengan kenyataan Kementerian Kesihatan yang menyatakan kompaun RM1,000 telah pun dikeluarkan kepada Datuk Khairuddin pada 7 Ogos 2020 dan beliau telah pun menjelaskan bayaran kompaun ini.
Soalan saya ialah, saya bangkitkan isu berkenaan Datuk Khairuddin tidak mematuhi perintah kuarantin 14 hari selepas pulang dari Turki di Dewan Rakyat pada 18 Ogos 2020, selama ini Ketua Pengarah Kesihatan hanya berkata Kementeriannya tengah menyiasat pelanggaran perintah kuarantin oleh menteri tersebut.
Kenapakah hari ini baru Kementerian Kesihatan memberitahu orang ramai bahawa kompaun telah dikeluarkan kepada beliau dan beliau telah menjelaskan denda tersebut?
Memang tidak mungkin Menteri dan KP Kementerian Kesihatan tidak tahu bahawa kompaun telah dikeluarkan pada 7 Ogos dan Datuk Khairuddin telah bayar denda itu, tetapi kena tunggu empat hari kemudian baru buat pengumuman!
Begitu juga dengan Menteri Datuk Khairuddin Aman Razali sendiri, sekiranya beliau telah bayar kompaun RM1,000 pada 7 Ogos, beliau seharusnya memberitahu kepada media selepas isu ini dilaporkan oleh media, tetapi beliau tidak berbuat demikian sehingga hari ini baru pohon maaf dan potong gajinya sendiri.
Jadi, adalah jelas kenyataan Kementerian Kesihatan hari ini dan juga kompaun RM1,000 kepada Menteri pada 7 Ogos 2020 dibuat atas arahan ataupun paksaan daripada pihak atasan, samada kabinet ataupun MKN.
Dalam sidang akhbar Menteri Kanan Dato’ Ismail Sabri pada 13 Ogos 2020, beliau berkata sesiapa yang sengaja ingkar perintah kuarantin, tidak lagi dikenakan kompaun tetapi akan terus dihadapkan ke mahkamah.
Persoalannya ialah kenapakah semua pesalah dihadap ke mahkamah, tetapi menteri kabinet ini diberi layanan istimewa dengan penjelasan kompaun RM1,000 yang balik bertarikh.
Sekali lagi, rakyat lihat layanan dua darjat berlaku dalam perlaksanaan perintah kawalan COVID-19. Kemarahan rakyat adalah jelas ditunjukkan dalam Facebook Kementerian Kesihatan.
Teresa Kok


Ahli Parlimen Seputeh
22 Ogos 2020

No comments: